Kes baharu COVID-19 menurun 28.8 peratus minggu lepas – KP Kesihatan
KUALA LUMPUR, 23 Mei – Situasi COVID-19 dalam negara sepanjang Minggu Epidemiologi (ME) ke-20 menunjukkan keadaaan yang lebih baik dengan penurunan kes baharu dan jumlah pesakit yang dimasukkan ke hospital, selain peningkatan kes sembuh berbanding minggu sebelumnya.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sepanjang tempoh ME tersebut yang bermula dari 15 hingga 21 Mei, bilangan kes baharu COVID-19 di negara ini menurun sebanyak 28.8 peratus iaitu kepada 13,630 kes berbanding 19,137 pada minggu sebelumnya (ME ke-19).
Beliau berkata perkembangan itu menyaksikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di Malaysia kini sebanyak 4,489,503 kes dengan 28,085 kes aktif.
“Bilangan kes sembuh pada ME ke-20 meningkat sebanyak 21.1 peratus atau 12,618 kes kepada 15,278 kes berbanding ME ke-19.
“Kes kematian pada ME ke-20 menunjukkan penurunan iaitu 29 kes berbanding 33 kes pada ME sebelumnya, menjadikan kumulatif kematian sebanyak 35,641 kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke fasiliti kesihatan iaitu hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) awam bagi setiap 100,000 penduduk juga menurun sebanyak sembilan peratus untuk ME sama berbanding ME sebelumnya.
“Kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital awam bagi setiap 100,000 penduduk juga menurun sebanyak 50 peratus melibatkan semua kategori pesakit,” katanya.
Dr Noor Hisham berkata peratus pengisian katil fasiliti COVID-19 menurun berbanding ME ke-19 iaitu penggunaan katil ICU menurun 33 peratus, manakala penggunaan katil PKRC dan katil kritikal tiada perubahan berbanding ME sebelumnya.
Beliau berkata kes-kes positif COVID-19 yang dipantau oleh Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di seluruh negara juga menunjukkan penurunan, dengan kedatangan pesakit ke CAC menurun sebanyak 5.2 peratus dan bilangan kes COVID-19 baharu yang menjalani pemantauan di rumah menurun 26.6 peratus.
“Bilangan kes COVID-19 yang dirujuk CAC ke PKRC atau hospital menurun sebanyak 18.7 peratus,” katanya.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.