Kes anggota trafik peras ugut warga Singapura: Polis mohon bantuan pejabat konsulat
JOHOR BAHRU, 14 Mac – Polis telah membuat permohonan kepada Pejabat Konsulat Singapura di sini bagi membantu mengesan pemilik akaun Facebook Sage dan Irene Teo berhubung dakwaan peras ugut melibatkan dua anggota polis trafik di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) yang tular di media sosial.
Ketua Polis Johor CP M Kumar berkata Teo dipercayai diarah membayar 142 dolar Singapura kepada kedua-dua anggota terbabit bagi mengelak dikenakan saman atas kesalahan memasuki laluan lori di tempat pemeriksaan 8A arah Johor Bahru ke Singapura kira-kira 8.15 malam Ahad lepas.
Beliau berkata kejadian itu turut disiarkan menerusi artikel yang dimuat naik di laman sesawang Mothership bertarikh 11 Mac.
“Bagaimanapun setakat ini polis masih belum menerima sebarang laporan daripada mangsa, namun permohonan rasmi ke Pejabat Konsulat Singapura telah dilakukan untuk mengesan pemilik akaun Facebook terbabit bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya siasatan dijalankan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan di talian 07-2182323 atau Insp Suhana Abdullah Sadali di 019-8853599 dan Insp Nizam Ramon di 011-16086119.
“Mana-mana pegawai yang dipercayai melakukan jenayah akan dikenakan tindakan tegas tanpa kompromi berlandaskan prinsip kesamarataan di sisi undang-undang di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Terdahulu tular dua video berdurasi 1 minit 20 saat dan 1 minit 36 saat yang memaparkan seorang wanita diarah membayar sejumlah wang kepada dua anggota polis trafik dari BSI bagi mengelak tindakan saman atas kesalahan memasuki laluan lori di lokasi tersebut.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.