Kerusi roda elektrik hadiah Ketua Menteri mudahkan rutin harian

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

TABOH NANING 12 Julai – Pernah putus asa dan mahu berhenti kerja sebaik mengetahui dirinya mengalami lumpuh kekal akibat kemalangan jalan raya.

Namun atas dorongan keluarga dan rakan sejawat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) semangat Koperal Mohd Shahrul Nasir, 39, untuk terus berkhidmat kepada negara kembali berkobar.

Lebih manis apabila kerusi roda elektrik pemberian Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh memudahkan rutin hariannya sebagai anggota polis di Bahagian Pentadbiran Balai Polis Simpang Ampat, di sini.

Anak sulung daripada empat beradik ini berkata, pada mulanya agak sukar untuk membiasakan diri sebagai orang kurang upaya (OKU) selepas pulih daripada kecederaan akibat kemalangan jalan raya 16 tahun lalu.

“Saya ambil masa dalam setahun juga untuk biasakan diri, sebelum ini sudah biasa menggunakan kaki berjalan, namun apabila menjalani rawatan di pusat pemulihan Hospital Seremban, Negeri Sembilan, saya diajar untuk uruskan diri termasuk cara menggunakan kerusi roda.

“Sebelum ini kerusi roda yang saya gunakan secara manual, tolak sendiri roda untuk bergerak, pergerakan agak terhad tetapi rutin harian jadi lebih mudah dengan adanya pemberian kerusi roda elektrik daripada Ketua Menteri,” katanya.

Mohd Shahrul antara dua anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah yang menerima kerusi roda elektrik diserahkan sendiri Ab Rauf, dalam lawatan Ketua Menteri itu ke Balai Polis Simpang Ampat hari ini.

Hadir sama, Timblan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taboh Naning dan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah.

Menceritakan detik hitam itu, Mohd Shahrul berkata, pada tanggal 10 Disember 2008, dia dalam perjalanan ke tempat kerjanya yang ketika itu bertugas di Balai Polis Batu Ampat, Kota Tinggi, Johor kira-kira jam 2 pagi.

“Suasana jalan ketika itu gelap, kereta saya terbabas ke dalam gaung akibat mengelak seekor haiwan melintas. Saya tersepit di tempat duduk pemandu dan mujur ada pemandu kenderaan pacuan empat roda (4X4) melalui jalan sama membantu.

“Ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI), doktor sahkan saya mengalami lumpuh kekal. Masa bekerja awal-awal dulu, memang rasa hendak berhenti sebab putus asa, namun ahli keluarga, kawan-kawan bagi kata-kata semangat supaya saya teruskan perkhidmatan, jadi saya teruskan bekerja seperti biasa sehingga ke hari ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

167
Kongsi :
Previous post Bapa Baby Syifaa didakwa salah guna wang RM67,000
Next post Meh ‘melantak’ durian di Menara Taming Sari
Ubah saiz-+=