KERUSI BERTINGKAT UNTUK KESELESAAN PENGUNJUNG SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

BANDARAYA MELAKA 27 Ogos – Kerusi bertingkat boleh menampung sehingga 1,000 orang disediakan bagi keselesaan pengunjung yang hadir memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan ke-67 Peringkat Negeri Melaka pada 31 Ogos ini.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman berkata, selain memberikan keselesaan kemudahan itu juga membolehkan pengunjung menyaksikan acara perbarisan dengan lebih jelas.

Katanya, setakat ini persiapan seperti memasang pentas utama, kerusi bertingkat dan kemudahan lain sepanjang Persiaran Jalan Merdeka berhadapan pusat beli-belah Dataran Pahlawan sedang giat dijalankan.

“Persiapan sambutan sudah mencapai 70 peratus, lokasi ini dipilih disebabkan kedudukan yang lebih stategik, laluan (jalan) juga lebih lebar jika dibandingkan di hadapan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan.

“Kerja-kerja persiapan dilaksanakan MBMB bersama Perbadanan Melaka Holdings (PMH), raptai perbarisan pula dijadualkan pada Khamis dan Jumaat ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI).

6226324170032135573
SUASANA persiapan yang giat dijalankan menjelang Sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 Peringkat Negeri Melaka pada 31 Ogos ini di Persiaran Jalan Merdeka (Jalan Tun Khalil Yaakob), Banda Hilir. Foto Iqmal Haqim Rosman

Mengulas lanjut, Shadan berkata, MBMB juga sudah mengenal pasti beberapa lokasi untuk dijadikan tapak parkir kenderaan, bertujuan memudahkan pergerakan pengunjung.

“Hebahan mengenai perkara itu akan dikongsi menerusi hantaran di Facebook rasmi MBMB. Antara lokasi dikenal pasti sebagai tapak parkir adalah di hadapan Hotel Casa Del Rio dan perkarangan pusat beli-belah Mahkota Parade.

“Bagi melancarkan sambutan beberapa laluan akan ditutup, perkara ini juga akan diumumkan dari semasa ke semasa menerusi platform media sosial MBMB,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

431
Kongsi :
Previous post TAWARAN MASUK PERCUMA HADIAH BERMAKNA BUAT RAKYAT MELAKA
Next post SUSPEK KEEMPAT KES TETAK, BUNUH DIREMAN TUJUH HARI
Ubah saiz-+=