Kerugian wang mangsa penipuan pelaburan tidak dapat dikembalikan
KUALA LUMPUR, 3 Mei – Kerugian wang dialami pelabur yang menjadi mangsa skim penipuan pelaburan tidak dapat dikembalikan meskipun melalui proses perundangan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata wang yang dirampas daripada sindiket pelaburan itu merupakan hasil kegiatan haram dan mangsa tidak boleh dianggap mempunyai kepentingan undang-undang yang sah terhadapnya.
“Bukti menunjukkan mereka (pelabur) secara sukarela dan tanpa paksaan telah mendepositkan wang ke akaun yang diarahkan untuk menjadi pelabur dalam skim VenusFX serta mengharapkan pulangan atas pelaburan berkenaan,” katanya dalam Sidang Media Khas Pengarah JSJK di Menara KPJ, di sini hari ini.
Pada 24 April lepas, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk melucut hak melebihi RM1.1 juta daripada 79 pelabur skim pengambilan deposit secara haram.
Panel tiga hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat turut mengarahkan wang berkenaan dilucut hak kepada hasil kerajaan.
Sehubungan itu, Ramli mengingatkan orang ramai supaya jangan sesekali terlibat dengan apa jua skim pelaburan tidak berdaftar khususnya yang diiklankan melalui laman sosial dan seumpamanya.
Ditanya jika terdapat mangsa scam mahu membuat tuntutan, Ramli berkata proses berkenaan boleh dibuat sekiranya ada permohonan kepada pegawai penyiasat kes, namun keputusan ditentukan oleh mahkamah.
Selain itu, Ramli berkata sejak kebelakangan ini, banyak syarikat menawarkan pelaburan berasaskan emas dan semakin menjadi pilihan ramai ekoran ketidaktentuan ekonomi global serta mata wang ketika ini .
“Mengikut rekod siasatan, kebanyakan skim pelaburan ini akan berakhir dengan penipuan dan kerugian. Misalnya, jika harga emas terus dalam trend menaik, ramai pelabur menjual untuk keuntungan. Dalam masa sama, syarikat tidak dapat memenuhi tebusan emas berkenaan dan ini akan memberi kesan kepada pelabur,” katanya.
Sehubungan itu, Ramli berkata JSJK melihat wujud keperluan agar satu mekanisme lebih mantap diwujudkan untuk memantau dan menyelia skim-skim pelaburan oleh syarikat-syarikat khususnya yang berkaitan dengan pelaburan emas.
“Jabatan ini mencadangkan agar Bank Negara Malaysia menetapkan peraturan yang lebih sesuai dan memastikan syarikat pelaburan yang berasaskan logam berharga sebegini berdaftar dengan mereka.
“Ini penting bagi menentukan wang yang dilaburkan adalah terjamin sekali gus mengelakkan kewujudan lebih banyak skim penipuan pelaburan,” katanya.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.