Kertas siasatan kes kartel daging diserah kepada Pejabat Peguam Negara

Masa Membaca:54 Saat

JOHOR BAHRU 15 Mac. – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Johor sudah menyerahkan kertas siasatan berhubung kes kartel daging kepada Pejabat Peguam Negara dua minggu lalu.

Pengarahnya Datuk Azmi Alias berkata, pihaknya sedang menunggu keputusan Pejabat Peguam Negara sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.

Bercakap kepada pemberita dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran CD Anti Rasuah, di sini, hari ini beliau berkata sehingga kini 12 suspek ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes itu, termasuk Pengarah Syarikat serta pegawai Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai kes tawaran rasuah RM10 juta untuk lompat parti melibatkan Ahli Parlimen Sekijan Natrah Ismail, beliau berkata siasatan berhubung kes itu telah selesai dan keterangan saksi telah diambil.

“Siasatan pada peringkat awal telah selesai dan kertas siasatan telah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara. Empat saksi juga telah dirakam percakapan mereka termasuk Natrah,” katanya.

Pada 9 Mac, SPRM Johor membuka kertas siasatan bagi mengesahkan aduan berhubung tawaran rasuah RM10 juta melibatkan Natrah sebagaimana yang dilaporkan dalam Facebook Ops Johor berkenaan kes berkenaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

767
Kongsi :
Previous post Pengadil ‘kontroversi’ digantung dua minggu
Next post Pengurus hartanah dan isteri didakwa terima rasuah, lakukan pengubahan wang haram
Ubah saiz-+=