Sorting by

×

Kertas siasatan kes bayi disimbah minyak panas seminggu lagi -KP

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

BEMBAN 22 Feb – Kertas siasatan berhubung kes bayi perempuan berusia empat bulan disimbah minyak panas oleh bapanya dalam kejadian di Semabok Dalam 11 Feb lalu akan diserahkan semula kepada Timbalan Pendakwa Raya minggu hadapan.

Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Abdul Majid Mohd Ali berkata pihaknya sudah menyerahkan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya pada minggu lalu namun dikembalikan semula.

Katanya, ia berikutan terdapat beberapa siasatan yang masih belum lengkap sebelum kes berkenaan dihadapkan ke mahkamah.

“Kertas siasatan kita sudah hantar ke DPP (Timbalan Pendakwa Raya) dan diberi semula untuk melengkapkan beberapa keperluan dari segi undang-undang dan fakta kes.

“Kita jangkakan dalam satu minggu (ini), kita kembalikan semula kepada DPP untuk arahan selanjutnya,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Balai Polis Bemban di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Razali Abu Samah dan Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan.

Mengulas lanjut, Abdul Majid berkata bapa mangsa berusia 24 tahun itu bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis.

Pada 11 Feb lalu, Melaka Hari Ini melaporkan bayi berkenaan dan ibunya cedera di beberapa bahagian badan selepas disimbah minyak goreng ayam oleh bapanya selepas berlaku pertengkaran dengan isterinya akibat cemburu.

Ibu mangsa berusia 21 tahun melecur di bahagian peha kiri manakala bayi tersebut melecur di bahagian belakang pinggang, punggung serta keseluruhan kaki sebelah kiri dan kanan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

434
Kongsi :
Previous post 11 kawasan terjejas akibat ribut – APM
Next post Perpisahan tidak direlakan motif bunuh
Ubah saiz-+=