Kertas kerja tangani hakisan Pantai Puteri sudah dihantar kepada PM
PANTAI KUNDOR 22 Okt. – Kertas kerja membabitkan projek bernilai RM13 juta untuk mengatasi hakisan Pantai Puteri sudah dihantar kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk dipertimbangkan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor Datuk Nor Azman Hassan berkata, kertas kerja itu dihantar ketika lawatan pemimpin tertinggi negara itu ke Melaka, baru-baru ini melalui Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali.
Antara intipati surat itu katanya, adalah cadangan kaedah alat ‘geotube’ sepanjang 2.1 kilometer (KM) di pantai berkenaan yang membabitkan pemasangan satu paip besar ke tengah laut dan diyakini mencegah pergerakan pasir-pasir di pantai.
“Kertas kerja itu memang sudah dihantar, tapi kita tahu ia akan memakan masa. Cuma kita akan cuba tekankan dan berharap ia akan disegerakan.
“Pada saya kaedah ‘geotube’ yang dihantar itu adalah kaedah terbaik memandangkan kita ada ramai nelayan pesisir pantai di Pantai Puteri yang mencari sumber pendapatan dengan melanggai udang dan menyungkur geragau.
“Apa pun, sudah pasti akan ada kajian lanjut tentang keberkesanan kaedah ini yang akan dijalankan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta agensi berkaitan,” katanya.
Mengenai masalah hakisan, Nor Azman berkata, keadaan di pantai berkenaan semakin serius memandangkan beberapa batang pokok rhu yang ditanam di kawasan pantai didapati tumbang.
Selain pokok tumbang, bangunan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang terletak berhampir Pantai Puteri menunjukkan keretakan, selain turut melibatkan kawasan parkir berhampiran pentas budaya yang sudah terhakis hampir 20 kaki.