Kerjasama rakyat, pelbagai pihak bantu promosi Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

BANDARAYA MELAKA 1 Januari – Kerjasama pelbagai pihak khususnya rakyat sangat penting dalam memperkasa sektor pelancongan yang menjadi nadi penting Negeri Melaka.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata, menerusi gandingan dan kerjasama semua pihak dalam mempromosi pelancongan di negeri ini, ia secara tidak langsung berupaya memacu pertumbuhan pelancongan yang mana impaknya bukan sahaja kepada negeri bahkan untuk rakyat.

Pada masa sama, kata beliau, Kerajaan Negeri juga perlu bertindak lebih agresif dalam melakukan promosi ke seluruh dunia bagi memastikan kejayaan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) dan Hari Pelancongan Dunia 2025 (WTD2025).

“Saya yakin Melaka mampu menjadi tumpuan pelancong seluruh dunia memandangkan Ketua Menterinya Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh cukup hebat dan bertanggungjawab.

“Malah Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Negeri Melaka Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman juga cukup bekerja keras dalam mempromosi Melaka di luar negara, termasuk di negara China,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) dan Ambang Tahun Baharu 2024 di Dataran Pengkalan Rama, di sini, malam tadi.

King Sing ketika berucap pada majlis itu turut mengumumkan peruntukan tambahan RM2 juta kepada Negeri Melaka bagi memperhebatkan kempen promosi TMM2024.

Menurut beliau, buat masa ini hanya Melaka menerima peruntukan tersebut dan tiga lagi negeri yang turut menganjurkan Tahun Melawat Negeri masih belum mengemukakan permohonan.

Namun, kata beliau, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sedia membantu negeri-negeri berkenaan bagi menjayakan kempen Tahun Melawat Negeri masing-masing.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

766
Kongsi :
Previous post Produk pelancongan percuma pada 20 Februari 2024 – KM
Next post Melaka terima tambahan RM2 juta promosi TMM2024
Ubah saiz-+=