Sorting by

×

Kerjasama promosi Menara Taming Sari

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

BANDA HILIR 12 Ogos – Menara Taming Sari Berhad (MTSB) sentiasa bersedia menjalinkan kerjasama bersama pelbagai agensi bagi menarik lebih ramai pelancong ke Menara Taming Sari yang juga ikon pelancongan Negeri Melaka.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nasrul Ahmad berkata, menerusi kerjasama yang dijalankan itu ia secara tidak langsung dapat membantu dalam mempromosikan produk keluaran Melaka ke serata dunia.

“Kami di MTSB sentiasa terbuka untuk mengadakan kerjasama dengan mana-mana agensi kerajaan atau swasta kerana ini adalah platform yang amat baik dalam menarik lebih ramai pelancong ke Menara Taming Sari.

“Sebelum ini kami sudah menjalinkan kerjasama bersama beberapa agensi termasuklah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) apabila mengadakan program di perkarangan Menara Taming Sari.

“Malah kerjasama terbaru dengan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) kami mengedarkan 500 biji buah nanas kepada pengunjung selain turut diadakan jualan berasaskan nanas di sini serta pameran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Jelajah Hari Nanas Malaysia Peringkat Negeri Melaka 2024, yang disempurnakan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh, pada Sabtu.

Hadir sama, Pengerusi LPNM, Sheikh Umar Bagharib Ali dan Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman.

Menurutnya, jalinan kolaborasi yang diadakan pihaknya bersama beberapa agensi sebelum ini menunjukkan peningkatan jualan tiket.

“Menerusi kerjasama sebelum ini secara tidak langsung jualan tiket Menara Taming Sari meningkat.

“Ini bukan sahaja memberi impak positif kepada kita malah juga peniaga di perkarangan Menara Taming Sari apabila jualan mereka juga meningkat susulan daripada kedatangan pengunjung,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

103
Kongsi :
Previous post Kerang-kerangan perairan Melaka sudah selamat dimakan
Next post ‘Dari ada anak sampai ke cucu hadap banjir’
Ubah saiz-+=