Kerjasama Persekutuan-Negeri pacu pembangunan Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

AYER KEROH 22 Julai – Kerjasama antara Persekutuan dan Negeri amat penting bagi memastikan segala perancangan pembangunan di Melaka dapat dilaksanakan dengan lancar, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Ketua Menteri berkata, bagi mencapai objektif itu Kerajaan Negeri melaksanakan Retreat Pembangunan Negeri Melaka Tahun 2024 yang memberi fokus kepada usaha menyelaras pelaksanaan Projek-projek Rancangan Malaysia Lima Tahun (RMLT) di Negeri Melaka.

Kata Ketua Menteri, platform sama digunakan untuk memperhalusi isu dihadapi dalam pelaksanaan projek melibatkan pihak kementerian dan agensi di peringkat Negeri Melaka sama ada di peringkat pra-pelaksanaan mahupun di dalam peringkat fizikal pembangunan.

“Retreat ini juga dilihat akan memberi peluang kepada kepimpinan Kerajaan Negeri Melaka untuk berdiskusi secara fizikal dan bersemuka dengan pihak kementerian berhubung keperluan projek-projek RMLT Negeri Melaka, sekali gus memperoleh pertimbangan serta kelulusan segera daripada pihak kementerian.

“Antara lain, fokus utama dan harapan saya melalui retreat ini adalah semua projek-projek yang masih di dalam peringkat ‘Pra-pelaksanaan’ perlu diberi perhatian supaya semua tindakan-tindakan yang melibatkan ‘submission dan approval’ kepada jabatan-jabatan teknikal juga Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) supaya dapat mengadakan ‘Mesyuarat OSC khas’,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau.

Terdahulu Ab Rauf menyempurnakan Majlis Perasmian Retreat Pembangunan Negeri Melaka Tahun 2024 berlangsung di Kuala Lumpur.

Hadir sama pada majlis itu Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azhar Arshad; Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Azman Ibrahim; Barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri Datuk Salhah Salleh; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melaka; Pengarah Pembangunan Negeri Melaka, Megat Azlani Megat Ramli, ketua-ketua jabatan Persekutuan serta Negeri.

Ab Rauf berharap, segala perbincangan dan keputusan yang dibuat menerusi platform itu dapat memberi impak positif kepada Negeri Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

362
Kongsi :
Previous post Bawa semangat Jalur Gemilang, pandu kereta Saga berusia 32 tahun ke seluruh Thailand
Next post Penggerak MAIM lafaz IBR
Ubah saiz-+=