Kerjasama Melaka, Pekanbaru rancakkan industri pelancongan
AYER KEROH 9 Feb – Seminar Pelancongan dan Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Negeri Melaka dan Pekanbaru, Indonesia berlangsung di Jakarta, Indonesia, semalam.
Majlis bersejarah itu disaksikan Yang Terhormat Dr. H. Firdaus ST MT, Walikota Pekanbaru bersama dengan EXCO Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Negeri Melaka Datuk Muhammad Jailani Khamis.
Jailani berkata, MoU ditandatangani adalah bagi kerjasama mewujudkan perkhidmatan bas elektrik oleh MK Tick Sdn. Bhd. di Pekanbaru, Indonesia.
“Selain itu, pihak Ukhwah Harmoni Travel & Tours Sdn. Bhd. juga telah menandatangani MoU bagi menjalinkan kerjasama di dalam menjual pakej pelancongan keluarga, pakej pelancongan kesihatan dan pertukaran pelajar di dalam bidang perhotelan serta hospital swasta.
“Pada majlis seramai 50 penggiat industri pelancongan daripada Pekanbaru dan Jakarta turut hadir bagi mendapatkan perkembangan terkini industri pelancongan Negeri Melaka,” katanya.
Sementara itu Firdaus, turut menyatakan kesudian Pekanbaru untuk mengaktifkan semula kerjasama dengan Negeri Melaka bagi memulakan penerbangan terus dari Pekanbaru ke Melaka.
“Selain itu perkhidmatan feri dari Dumai dan Bengkalis ke Melaka akan aktifkan. Kita yakin usaha ini secara tidak langsung dapat menarik pelancong Indonesia ke Negeri Melaka dalam mencapai 5.6 juta pelancong ke Negeri Melaka,” katanya.
FIRDAUS (kiri) dan Muhammad Jailani (kanan) menyaksikan majlis menandatanagani MoU antara wakil MK Tick Sdn Bhd dan PT Total Bangun Sejahtera bagi kerjasama mewujudkan pengangkutan bas elektrik di Pekanbaru, Indonesia.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.