Kerjasama masyarakat bantu cegah jenayah ‘scammer’

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

ASAHAN 12 Mei – Kerjasama masyarakat amat penting dalam usaha membanteras jenayah ‘scammer’ di negeri ini, kata Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan.

Beliau berkata, kesedaran itu penting memandangkan jenayah berkonsepkan penipuan itu boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira umur, jantina dan bangsa.

Menurut beliau, trend jenayah berkenaan juga semakin membimbangkan apabila setakat Januari hingga April tahun ini sejumlah RM12.4 juta nilai kerugian akibat penipuan secara dalam talian telah direkodkan.

“Jumlah ini menunjukkan peningkatan berbanding tahun 2023 bagi tempoh sama iaitu sebanyak RM8.4 juta.

“Ini adalah rekod diberikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Melaka, justeru pelbagai kempen kita laksanakan melibatkan pelbagai agensi dan pihak sekolah tentang jenayah ‘scammer’ ini.

“Bagaimanapun kesedaran dan kerjasama masyarakat itu sendiri penting kerana mangsa jenayah ini melibatkan pelbagai peringkat umur,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival Kita Madani Peringkat Negeri Melaka 2024 di Felda Tun Ghafar Bukit Senggeh, di sini, malam tadi.

Hadir sama Pengarah JaPen Negeri Melaka, Ab Rasil Hajatil dan lain-lain kenamaan.

Dalam pada itu, Fairul Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspasa dengan jenayah itu.

“Sentiasa berhati-hati apabila menerima panggilan daripada orang tidak dikenali agar kita tidak menjadi mangsa seterusnya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

127
Kongsi :
Previous post Raja Permaisuri Agong berkenan hadiri Majlis Sambutan Hari Ibu
Next post Masalah disiplin remaja antara cabaran dihadapi kaum ibu
Ubah saiz-+=