Kerja pembaikan dijangka awal Disember
AYER KEROH, 23 NOV.- Kerja pembaikan kawasan hakisan pantai berhampiran menara Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di Pantai Puteri dijangka akan dilakukan pada awal Disember depan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor Datuk Nor Azman Hassan berkata, beliau dimaklumkan oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri sebut harga kerja pembaikan itu akan dikeluarkan dalam tempoh antara satu atau dua minggu lagi.
“Saya dapat panggilan daripada JPS memaklumkan mengenai sebut harga itu yang membabitkan pembaikan di kawasan Menara APM, InsyaAllah ianya akan dikeluarkan dalam minggu depan.
“JPS kini sedang meneliti spesifikasi yang akan digunakan untuk kerja pembaikan itu dan difahamkan ia akan menggunakan batu tahan ombak ‘groyne’,” katanya.
Beliau berkata, kerja pembaikan awal ini hanya membabitkan kawasan Menara APM manakala kawasan lain yang terjejas akan dibuat secara berperingkat bergantung kepada kelulusan bajet.
“Kawasan lain perlu menunggu peruntukan seterusnya dan buat waktu ini, kita hendak selamatkan Menara APM kerana kawasan itu sudah teruk,” katanya.
Melaka Hari Ini pada 22 Oktober lalu melaporkan, kertas kerja membabitkan projek bernilai RM13 juta untuk mengatasi hakisan Pantai Puteri sudah dihantar kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk dipertimbangkan.
Nor Azman Hassan berkata, kertas kerja itu dihantar ketika lawatan pemimpin tertinggi negara itu ke Melaka, baru-baru ini melalui Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali.
Antara intipati surat itu katanya, adalah cadangan kaedah alat ‘geotube’ sepanjang 2.1 kilometer (KM) di pantai berkenaan yang membabitkan pemasangan satu paip besar ke tengah laut dan diyakini mencegah pergerakan pasir-pasir di pantai.