Kereta nadi berniaga rentung

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

PANTAI KUNDOR 19 April – Sepasang suami isteri peniaga kuih pau berputih mata apabila kereta Perodua Kancil yang menjadi nadi untuk mencari rezeki tiba-tiba hangus terbakar pada hari kedua Ramadan lalu.

Kereta digunakan untuk mengangkut kuih pau, dapur kukus, meja dan pelbagai peralatan yang lain sejak 2006, musnah sama sekali menyebabkan usaha mencari rezeki bagi menampung kehidupan bersama lima anak berusia enam hingga 11 tahun, tergendala seketika.

Ketua keluarga terbabit, Shahrul Nizam Md Suboh, 38, berkata, dia dan isteri, Nursyiqah Hassan, 37, bagaimanapun bersyukur kerana bapa saudara mereka sudi meminjamkan kereta, Proton Iswara untuk mereka berniaga pasar Ramadan Pantai Puteri, Tanjung Kling dekat sini.

SHAHRUL Nizam buntu apabila kereta Perodua Kancil yang menjadi nadi untuk mencari rezeki musnah terbakar. Foto Din Ahmad

Menceritakan detik malang itu, Shahrul Nizam berkata, dalam kejadian jam 3 petang, 14 April lalu, dia baru pulang menghantar anak sulung ke Sekolah Rendah Agama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Pantai Rombang dan memakir kenderaan itu hampir dengan dinding rumah.

“Ketika hendak masuk ke dalam rumah, tiba-tiba saya ternampak asap dari celah bonet dan saya mencuba mencurahkan air tetapi dalam sekelip mata sahaja api sudah marak.

“Dalam tempoh lima minit, keseluruhan kereta terbakar dan bahangnya menyebabkan cermin tingkap rumah pecah,” katanya.

SHAHRUL Nizam (tengah) menerima sumbangan wang tunai daripada Nor Azman di Kampung Pantai Rombang, Tanjung Kling.

Dia ditemui ketika menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan di kediamannya di Kampung Pantai Rombang, Tanjung Kling dekat sini hari ini.

Shahrul Nizam berkata, ketika hujan lebat dia terpaksa menutup bahagian tingkap yang terlopong dengan guni bagi mengelakkan ruang tamu basah.

“Saya mulanya buntu memikirkan bagaimana untuk berniaga sedangkan kereta sudah hangus tetapi alhamdulillah, Allah memurahkan rezeki saya apabila ditawarkan kereta oleh bapa saudara isteri,” katanya.

Sementara itu, Nor Azman menyampaikan sumbangan peribadi dan makanan kepada keluarga berkenaan serta berjanji meminta kontraktor membaiki tingkap terbabit.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1193
Kongsi :
Previous post Pematuhan SOP pasar Ramadan belum memuaskan
Next post Hasilkan bubur lambuk walaupun pergelangan tangan kudung
Ubah saiz-+=