Kereta Kuda Pantai Klebang kembali ‘bernafas’
KLEBANG 17 Sept – Pengusaha kuda pelancongan di Dataran 1Malaysia Klebang kembali menjana pendapatan apabila kerajaan membenarkan aktiviti pelancongan dalam negeri berjalan semula di bawah Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) sejak dua minggu lalu.
Bagi Pengusaha Kereta Kuda Berhias, Shahirah Idayu Kamaruzaman,25, dia mewarisi perniagaan itu daripada keluarganya yang sudah lebih lapan tahun meniaga di sekitar Pantai Klebang.
Katanya, kereta kuda berhias itu boleh dinaiki sehingga lapan orang pada satu masa namun bilangan itu dikurangkan kepada empat atau lima orang saja sejak pandemik COVID-19.
“Kita sediakan dua kereta kuda berhias di Pantai Klebang ini dan pengunjung yang naik kereta kuda berhias ini kita akan bawa bersiar di sekitar pantai sejauh 500 meter.
“Harga sangatlah berpatutan, serendah RM5 untuk kanak-kanak dan RM10 untuk dewasa.
“Dalam tempoh dua minggu dibenarkan beroperasi semula, sambutan pengunjung dan orang ramai amat menggalakkan, kami kembali bernafas, kuda juga kembali bertenaga.
“Sepanjang tiga bulan lalu kuda-kuda saya ini saya terpaksa catu makanan mereka, jadi bila kerajaan benarkan meniaga, syukur, mereka (kuda) pun kembali sihat bertenaga.
“Anggaran untuk kos menjaga kuda terutama makanan menjangkau antara RM3,000 hingga RM4,000 sebulan,” kongsinya kepada MHI.
Sementara itu, seorang lagi pengusaha kuda di Pantai Klebang, Mohd Fauzan Adnan, 19, berkata, dia mengusahakan kuda bagi aktiviti pelancongan itu bersama keluarganya sejak dua tahun lalu.
Menurutnya dia bukan sahaja menawarkan khidmat kereta kuda, malah kuda tunggang yang sesuai untuk kanak-kanak dan dewasa.
“Kuda tunggang ni, kita tawarkan RM5 untuk kanak-kanak dan RM10 untuk dewasa, menunggang kuda dengan jarak anggaran 500 meter.
“Orang Melaka memang dah tahu kalau nak naik kuda bagi aktiviti pelancongan, nak ambil gambar dengan kuda, semuanya di Pantai Klebang, jadi bila kerajaan benar melancong dalam negeri, kami amat berbesar hati.
“Sambutan amat baik, hari ini sahaja, seawal pagi sudah ada pelanggan, kami hanya beroperasi setiap hujung minggu, bermula Jumaat, Sabtu, Ahad dan cuti umum, jam 9 pagi di sini,” ujarnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.