Sorting by

×

Kerepek pisang sumber rezeki ibu tunggal dirosakkan monyet

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

TANJUNG BIDARA 12 Jan – Seorang ibu tunggal hanya mampu menitiskan air mata akibat kerugian lebih RM200 selepas kerepek pisang yang dihasilkannya dirosakkan sekumpulan monyet.

Noor Faridah Mat, 52, menanggung kerugian itu selepas sekumpulan monyet menceroboh kediamannya di Kampung Londang, di sini, petang semalam.

Dia berkata, ketika kejadian dia dan anak perempuannya berusia 29 tahun menziarahi besannya di Merlimau manakala anak lelakinya berusia 27 tahun masih di tempat kerja di Alor Gajah.

“Kami tiba di rumah pada jam 4 petang semalam tetapi terkejut apabila mendapati barang di dapur berselerak akibat diselongkar monyet.

“Yang sedihnya, lebih 20 bungkusan kerepek pisang bernilai lebih RM200 dikopek dan dimakan sebahagian manakala sebahagian lagi dibiarkan begitu sahaja,” katanya ketika ditemui di kediamannya hari ini.

Nor Faridah menunjukkan kerepek pisang yang terselamat daripada dimusnahkan sekumpulan monyet yang menceroboh rumahnya di Kampung Londang, Masjid Tanah.

Dia berkata, kerepek pisang adalah sumber rezeki utamanya selepas berhenti kerja di sebuah warung kopi tiga tahun lalu manakala anak perempuannya sudah berhenti kerja kilang sejak hamil beberapa bulan lalu.

Noor Faridah berkata, dia mengesyaki haiwan berkenaan masuk ke dalam rumah melalui lubang antara bumbung dengan dinding.

Sebelum ini katanya, haiwan berkenaan setakat mengambil pisang pada pokok di belakang rumah tetapi sekarang sudah bertindak berani masuk ke dalam rumah.

Katanya, dia pernah mencuba menghalau haiwan itu dengan menggunakan mercun tetapi kumpulan monyet hanya melarikan diri apabila dilempar mercun sebelum datang semula.

Sehubungan itu, dia meminta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) membantu memasang perangkap monyet di hutan belakang rumahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

849
Kongsi :
Previous post Sulaiman terima nasihat TMJ, janji usahakan isu MUFC
Next post Koperasi perlu teroka aktiviti perniagaan baharu – ANGKASA
Ubah saiz-+=