KERANGKA INSENTIF PELABURAN AKAN DIPERKENAL TERMASUK DANA PELABURAN STRATEGIK RM1 BILION
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerangka itu yang menumpukan aktiviti bernilai tinggi berbanding insentif sedia ada yang berasaskan produk tertentu, dijangka dilaksanakan pada suku ketiga 2025.
“Kerangka Insentif Pelaburan Baharu ini akan terus disokong melalui fasilitasi pelaburan yang inklusif untuk merangsang pertumbuhan ekonomi yang seimbang di seluruh negara,” kata beliau semasa membentangkan Belanjawan 2025 di Parlimen, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata dalam meningkatkan tahap kerencaman sektor ekonomi elektrik dan elektronik (E&E) melalui aktiviti bernilai tambah tinggi contohnya seperti perkhidmatan reka bentuk litar bersepadu (IC) dan bahan termaju, galakan cukai bagi peningkatan eksport diperluas kepada aktiviti reka bentuk IC.
Selain itu, kata beliau, dalam usaha mengurangkan jurang ekonomi antara wilayah, insentif cukai pendapatan pada kadar istimewa ditawarkan bagi pelaburan dalam 21 sektor ekonomi di negeri seperti Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak, tertakluk kepada keberhasilan limpahan ekonomi.
Sementara itu, Perdana Menteri turut berkata sebanyak RM200 juta disediakan meliputi Dana Pelaburan Bersama Strategik (CoSIF) dan Dana Pembangunan Industri Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) untuk menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat pertengahan serta menggalakkan pendayaciptaan.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.