Kerang-kerangan perairan Melaka sudah selamat dimakan

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

MERLIMAU 12 Ogos – Larangan memakan kerang-kerangan atau dwicengkerang di perairan Melaka dan Negeri Sembilan telah ditarik balik.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh menerusi satu kenyataan di laman TikTok rasminya berkata ia berikutan penurunan tahap biotoksin ke paras selamat sebelum ini dikesan tinggi dalam makanan itu.

Katanya, perkara itu merupakan berita baik buat sektor penternakan kerang-kerangan yang sebelum ini dilarang untuk sebarang aktiviti penjualan.

“Ini merupakan berita baik kepada seluruh penternak kupang atau dwicengkerang perairan Melaka dan Negeri Sembilan, sebelum ini Kerajaan melarang untuk ambil kerang-kerangan disebabkan kadar biotoksin yang agak berbahaya.

“Jadi, alhamdulillah apabila kita tengok sampel air terbaharu dan kadar biotoksin dalam kadar yang sangat selamat maka bermula hari ini kita telah mengangkat semula larangan tersebut di mana kita kongsikan kepada semua sektor penternakan dapat diteruskan seperti biasa,” katanya.

Terdahulu, pada 10 Ogos lalu, Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) telah mengeluarkan satu kenyataan mengumumkan bahawa larangan ke atas penuaian dan penjualan kerang-kerangan di perairan Negeri Sembilan dan Melaka telah ditarik balik berikutan penurunan tahap biotoksin ke paras selamat.

Memetik kenyataan, pemantauan rapi DOF dan analisis makmal yang konsisten, keputusan itu diambil kerana bacaan biotoksin telah menunjukkan di bawah 400 per bilion (ppb), dengan ini aktiviti perikanan di kawasan terjejas boleh diteruskan seperti biasa.

Bagaimanapun, orang ramai turut dinasihatkan supaya terus berwaspada dan mengikuti perkembangan lanjut dari pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan makanan terjamin.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

109
Kongsi :
Previous post Banjir luar biasa: Sistem perparitan perlu dikaji semula
Next post Kerjasama promosi Menara Taming Sari
Ubah saiz-+=