Kerancakan sektor peruncitan beri manfaat kepada rakyat – Sulaiman

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

UJONG PASIR 27 Mac – Pembukaan rangkaian pasar raya bukan sahaja memberi pulangan ekonomi kepada kerajaan negeri malah meringankan beban rakyat yang menikmati tawaran barangan pada harga lebih berpatutan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, rakyat dalam tempoh pandemik ini sangat terkesan untuk menjalani kehidupan berikutan kenaikan harga pelbagai barangan keperluan.

Sebubungan itu, katanya kerajaan negeri mengalu-alukan sektor peruncitan melabur di negeri ini dan membuka rangkaian pasar raya dengan menawarkan harga lebih rendah kepada rakyat.

“Sekiranya mereka memberikan pulangan bukan hanya kepada kerajaan negeri tetapi pulangan baik kepada rakyat, saya amat mengalu-alukan pelaburan mereka di Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Perasmian Pasar Raya Baloy di Bukit Senjuang di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Baloy Sdn Bhd, Yen Chee Yong.

Sulaiman berkata pembukaan cawangan ke-14 Pasar Raya Baloy di negeri ini menunjukkan pelabur sektor peruncitan bersungguh-sungguh untuk meningkatkan ekonomi tempatan dan membantu rakyat.

“Saya difahamkan mereka mempunyai 50 rangkaian di seluruh negara, 14 daripada di Melaka.

“Cawangan Bukit Senjuang adalah pasar raya bercirikan gudang borong pertama di negara ini manakala pasar raya ‘wholesale’ kedua akan dibuka di Bukit Rambai.

“Setakat ini gudang borong pasar raya itu menjual 1,000 jenis barangan dan akan meningkat kepada 1,800 membabitkan barang keperluan seperti beras serta susu tepung,” katanya.

Sulaiman berkata kelebihan pasar raya itu menawarkan 10 hingga 20 peratus harga lebih rendah berbanding pasaran.

Malah katanya, pasar raya berkenaan turut mempunyai aplikasi belian atas talian sendiri yang memberikan keselesaan kepada pembeli.

“Dalam keadaan pandemik COVID-19, eloklah Pasar Raya Baloy membuka rangkaian gedung borongnya yang pertama di Melaka, maka ianya dapat meringankan beban rakyat.

“Mereka ada aplikasi sendiri boleh terus hantar ke rumah, jadi secara tidak langsung mengurangkan kesesakan jalan raya,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

971
Kongsi :
Previous post COVID-19: Kes sembuh mengatasi kes baharu semalam
Next post ADUN Kempas dilantik sebagai Setiausaha Politik MB Johor
Ubah saiz-+=