Sorting by

×

KERANA KASIHNYA IBU…

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

TABOH NANING 14 November – Meskipun berdepan ujian dalam hidup namun semua itu langsung tidak mematah semangat Rohaya Abu Samah menguruskan keluarga termasuk anaknya yang menghidap buah pinggang kronik.

Rohaya, 54, kini juga perlu mencari pendapatan sampingan bagi memastikan perbelanjaan keluarganya mencukupi untuk kehidupan seharian selain menampung bayaran sewa kereta untuk membawa anak sulungnya Muhammad Shukri Jailani, 34, menjalani rawatan susulan di Hospital Melaka.

Menurutnya, Muhammad Shukri disahkan menghidap buah pinggang kronik tiga tahun lalu selain pada tahun lepas dia terpaksa menyambut Aidilfitri di hospital kerana keadaan kesihatan anaknya itu tidak stabil.

Kata wanita itu, suaminya Jailani Othman, 59, kini tidak mampu lagi bekerja kerana mengalami masalah kesihatan dan wang pencen yang diterima pula tidak cukup menampung perbelanjaan keluarga, sehingga dia membuat keputusan mengambil upah menjaga budak.

“Disebabkan penyakit buah pinggang dihidapinya, Muhammad Shukri setiap hari perlu menjalani dialisis sebanyak tiga sesi di rumah, ini memerlukan kos yang agak tinggi.

“Malah untuk membawanya ke Hospital Melaka bagi rawatan susulan juga perlukan perbelanjaan yang besar memandangkan kami tiada kereta dan perlu menyewa teksi atau perkhidmatan e-hailing, di mana kebiasaannya tambang antara RM100 hingga RM120.

“Itu tidak termasuk lagi dengan perbelanjaan anak yang masih bersekolah dan menuntut di universiti. Untuk itu, selain harus menguruskan kewangan dengan baik saya perlu mencari pendapatan sampingan,” katanya.

Ibu kepada empat anak itu ditemui selepas Program Ziarah Kasih Dan Santunan Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning Tahun 2024, di rumahnya di Taman Jati Indah, semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning, Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Setiausaha MAIM, Shaifulfazlee Mohamad dan Pegawai Tugas Khas MAIM, Datuk Wira Md Rawi Mahmud.

6172668161510457728
SHAIFULFAZLEE menyampaikan sumbangan kepada Muhammad Shukri Jailani, 34, pada Program Ziarah Kasih dan Santun Masyarakat DUN Taboh Naning Tahun 2024 di Taman Jati Indah, Alor Gajah. Turut bersama, Adun Taboh Naning Datuk Zulkiflee Mohd Zin dan Pegawai Tugas Khas MAIM, Datuk Wira Md Rawi Mahmud. Foto Muhammad Rasul Azli Samad

Rohaya berkata, dengan bantuan yang disalurkan oleh MAIM, ia secara tidak langsung dapat meringankan beban yang digalasnya itu.

“Alhamdulillah, sedikit sebanyak bantuan disalurkan oleh MAIM dan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) dapat ringankan perbelanjaan tetapi selagi terdaya saya cuba juga untuk usahakan sendiri.

“Jauh disudut hati, saya segan dan kalau boleh tidak mahu meminta-minta. Terima kasih bukan sahaja kepada MAIM tetapi juga Adun Taboh Naning kerana sudi bertanya khabar dan datang menziarahi kami sekeluarga,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

255
Kongsi :
Previous post DUNIA ‘AI’ CABARAN BESAR KEPADA ANAK-ANAK
Next post SENTUHAN KASIH 562 CALON SPM, STPM MELAKA
Ubah saiz-+=