Kerana cinta, tekad belajar seni menjahit

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

KOTA LAKSAMANA 20 Jun – “Kehalusan seni menjahit manik halus membuat saya jatuh cinta,” ujar Leslie Shaw, 75.

Warga emas yang berasal dari Warwick, England itu berkata dia mempelajari seni menjahit manik halus pada bulan Februari lalu.

Ujarnya, dia memerlukan masa empat bulan untuk mahir dalam menjahit manik pada ‘muka kasut’ itu.

“Saya sukakan kepelbagaian, saya telah mengembara keluar dari England sejak tahun 1994 dan akhirnya pada tahun 2012 saya berkahwin dengan isteri, Nyonya May Lin Theh Poh sehingga kini menetap di Melaka.

“Kaum Peranakan Cina atau Baba Nyonya ini mempunyai rangkuman pelbagai budaya dan adat, selain dari makanannya yang unik, seni manik yang dijahit pada kasut menjadi tarikan apabila diperaga dengan baju kebaya nyonya. Ia terlihat sangat cantik.

“Sepanjang saya belajar menjahit seni manik halus ini, ia sangat mencabar kerana memerlukan tumpuan yang tinggi, sabar dan dedikasi dalam menyiapkan hasil jahitan. Sehingga kini saya telah mempunyai lima pasang jahitan manik kasut,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Dia berkata demikian ketika ditemui dalam Pameran Manik Peranakan Cina di Rumah Peranakan Cina Melaka di Kota Laksamana hari ini.

JAHITAN manik halus

Tambah Leslie, cintanya pada budaya peranakan itu mendalam dan jika berkesempatan dia berkeinginan untuk mempelajari pelbagai lagi seni jahitan dalam kaum itu.

“Saya telah mengembara ke pelbagai negara dan di Malaysia khususnya di Melaka saya menemui cinta lain dari yang lain, keunikan kaum Peranakan ini dapat dilihat dari seni klasik yang wajar diwarisi.

“Saya suka belajar perkara baharu, jika berkesempatan, saya akan pelajari seni yang lain,” ujarnya dalam bahasa campuran English dan Melayu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1313
Kongsi :
Previous post Chakiak dan Srekop Laok tarikan utama Pameran Manik
Next post Gagal beri perkhidmatan bermutu, pembekal internet berdepan tindakan – MCMC
Ubah saiz-+=