Kerajaan umum SOP perayaan Maasi Magam, perarakan Chingay
“Kerajaan akan terus memberi keutamaan kepada perayaan-perayaan keagamaan untuk disambut oleh penganut-penganut agama yang terlibat namun kelonggaran ini harus dimanfaatkan dengan penuh rasa tanggungjawab.
“Setiap SOP yang digariskan oleh KPN harus dipatuhi bukan sahaja demi keselamatan dan kesihatan diri tetapi juga orang sekeliling,” katanya.
Beliau berkata SOP perayaan Maasi Magam akan dilaksanakan bermula 16 hingga 19 Feb dan hanya individu lengkap vaksinasi sahaja dibenarkan mengikuti aktiviti keagamaan, wajib mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter dan memakai pelitup muka.
SOP itu antara lain menetapkan perjalanan dan pergerakan kenderaan membawa patung dibenarkan dengan syarat tidak melebihi 50 pengiring yang terdiri daripada pihak pengurusan kuil, tiada lokasi perhentian dibenarkan dan senarai nama pengiring serta pelan perjalanan perlu mendapat kelulusan polis.
Bagi perarakan Chingay, upacara sembahyang di Johor Ancient Temple dan Xing Gong adalah dibenarkan bermula 19 hingga 22 Feb dan tidak lebih 100 ahli pengurusan tokong dibenarkan bagi upacara penyucian jalan pada 19 Feb.
Hishammuddin berkata pada 20 Feb, Upacara Pengusungan Dewa Keluar dari Johor Ancient Temple ke Xing Gong adalah dibenarkan dengan tidak lebih 200 ahli pengurusan tokong.
Beliau berkata Upacara Perarakan Malam Pesta Chingay pada 21 Feb juga dibenarkan dengan pergerakan 11 buah trak berhias dan tidak lebih 20 ahli pengurusan tokong bagi setiap trak berhias serta penganut tidak dibenarkan mengiringi perarakan.
Menurut SOP, Upacara Kepulangan Dewa Kembali dari Xing Gong ke Johor Ancient Temple pada 22 Feb adalah dibenarkan dengan tidak lebih 200 ahli pengurusan tokong, selain menetapkan senarai nama pengiring dan pelan perjalanan serta pergerakan perarakan Chingay perlu mendapat kelulusan polis.
Perayaan Maasi Magam disambut masyarakat India pada 17 Feb manakala perarakan Chingay disambut lima suku kaum Cina iaitu Hainan, Hakka, Hokkien, Teochew dan Tiong Hua bermula pada hari ke-19 sambutan perayaan Tahun Baharu Cina bermula 19 hingga 22 Feb di Johor. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.