Kerajaan umum bantuan lebih komprehensif esok atau lusa

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

PETALING JAYA 27 Jun – Kerajaan akan mengumumkan bantuan yang lebih komprehensif di bawah Fasa (Pertama) Kawalan Pergerakan Pelan Pemulihan Negara yang merangkumi semua kumpulan masyarakat, sama ada esok atau pada Selasa.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau akan mengumumkan perincian bantuan tersebut merangkumi sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang terkesan dengan pelaksanaan PKP 3.0 bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Muhyiddin berkata, kerajaan sentiasa berusaha memastikan kira-kira 12 juta individu atau isi rumah di negara ini yang terjejas dengan penularan wabak COVID-19 menerima bantuan dan sokongan sewajarnya dalam mendepani saat-saat yang sukar ketika ini.

“Kita faham bila di fasa begini (fasa pertama Kawalan Pergerakan Pelan Pemulihan) dan seterusnya sampai ke akhir tahun, semua tunggu apakah kerajaan akan tolong kumpulan yang terkesan? Kumpulan B40 dan M40 dah tentu (dibantu) termasuk dalam pemberian moratorium, kumpulan T20 juga ada (yang layak),” kepada pemberita selepas meninjau pusat pemberian vaksin (PPV) di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata, bantuan yang akan diumumkan kali ini akan mengambil kira keperluan semua kumpulan yang terjejas wabak COVID-19, secara lebih komprehensif jika dibandingkan sebelum ini.

“Perinciannya akan saya maklumkan esok atau lusa supaya semua tahu di mana kita berada, tapi apa yang penting kita beri sokongan kepada semua kumpulan masyarakat,” katanya sambil membayangkan kemungkinan akan terdapat peningkatan dalam bantuan yang akan diberikan itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

462
Kongsi :
Previous post Dua lelaki ‘kantoi’ bawa dadah bernilai lebih RM6 juta dalam kereta mewah, ditahan di SJR
Next post Jangan bunuh belangkas
Ubah saiz-+=