Kerajaan Turkiye biaya kos bina rumah transit Pengkalan Batu
PENGKALAN BATU 8 Februari – Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu bakal dilengkapi kemudahan rumah transit khusus bagi menempatkan kanak-kanak dan wanita kurang bernasib baik termasuk mangsa terkesan akibat penderaan.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin berkata, kos pembinaan kemudahan itu yang dianggarkan RM800,000 akan dibiayai oleh Kerajaan Turkiye dan dijangka siap hujung tahun ini.
Katanya, persetujuan Kerajaan Turkiye untuk membiayai kos membina kemudahan itu adalah dinyatakan wakil kedutaan negara itu ketika melawat sebuah rumah perlindungan di Jasin tahun lalu.
“Mereka (wakil kedutaan Turkiye) begitu teruja dengan konsep yang kita amalkan di rumah perlindungan berkenaan.
“Alhamdulillah selepas dimaklumkan mengenai hasrat Kerajaan Negeri untuk membina sebuah lagi kemudahan sama, wakil kedutaan Turkiye menyatakan mereka berbesar hati mahu membiayai kos rumah transit ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada program penyerahan enam hamper sempena Tahun Baharu Cina di Pusat Haemodialisis Yakin Prima Jaya, di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Haemodialisis Yakin Prima Jaya, Noor Izatullelmy Mat Saad.
Mengulas lanjut Kalsom berkata, rumah transit itu dicadangkan dibangunkan di sebuah tapak terletak di Belakang Japerun Pengkalan Batu.
“Bagi Kerajaan Turki sumbangan ini dianggap sebagai satu penghargaan kepada Malaysia yang menjadi antara negara terawal menghantar pasukan menyelamat dan misi bantuan ketika negara itu dilanda gempa bumi.
“Saya juga sudah melihat lakaran rumah transit ini yang disediakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri. Kita mahu sediakan kemudahan selesa bagi membantu mereka yang berkenaan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.