Kerajaan tidak pernah jual aplikasi MySejahtera, kerahsiaan data terjamin

Masa Membaca:2 Minit, 14 Saat

KUALA LUMPUR, 27 Mac – Kerajaan tidak pernah menjual aplikasi MySejahtera kepada mana-mana syarikat swasta dan ia adalah hak milik kerajaan, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata ini sepertimana diputuskan kerajaan pada 26 Nov tahun lepas, dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dilantik sebagai pemilik utamanya untuk pengurusan kesihatan awam negara.

“Data MySejahtera adalah di bawah penyeliaan KKM sejak ia mula digunakan, dengan segala pengurusan data akan melalui proses tadbir urus data yang telah ditetapkan KKM,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab isu status pemilikan aplikasi MySejahtera yang dibangkitkan beberapa pihak sejak semalam, termasuk Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengulas lanjut, Khairy berkata kerajaan juga tidak pernah membuat sebarang bayaran kepada syarikat KPISOFT (M) Sdn. Bhd (KPISOFT), yang membangunkan aplikasi berkenaan sepanjang tempoh penggunaannya dari 27 Mac 2020 hingga 31 Mac 2021.

Ini menurutnya berdasarkan ketetapan syarikat berkenaan, yang telah menawarkan penggunaaan aplikasi itu kepada kerajaan untuk tempoh setahun tanpa sebarang bayaran, berdasarkan prinsip tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat.

Setelah tamat tempoh CSR tersebut, Khairy berkata kerajaan pada 31 Mac tahun lepas bersetuju supaya perkhidmatan MySejahtera diteruskan, kerana keteguhan dan keupayaan dinamik teknologinya dan telah melaksanakan peningkatan fungsi MySejahtera sehingga apa yang digunakan hari ini.

Justeru pada 26 Nov 2021, menurutnya kerajaan menetapkan supaya KKM menubuhkan Jawatankuasa Rundingan Harga, bagi melaksanakan rundingan harga perolehan dan pengurusan perkhidmatan aplikasi MySejahtera dengan pihak syarikat untuk tempoh dua tahun, selaras tatacara perolehan kerajaan.

Perolehan itu, katanya dipersetujui Kementerian Kewangan melalui surat bertarikh 28 Feb lepas untuk dilaksanakan, dan kini proses rundingannya telah dimulakan, menegaskan bahawa pihaknya akan memastikan ‘due diligence’ dilakukan dalam proses ini, bagi memelihara kepentingan kerajaan.

Jelas Khairy, skop perolehan ini merangkumi pengoperasian platform MySejahtera, pembangunan modul tambahan, penyelenggaraan, pengurusan pusat data dan perkhidmatan disediakan pihak ketiga, termasuk langganan ke atas ‘Google Map and Places Application Programming Interface’ dan perkhidmatan ‘Short Messaging Service’.

Khairy berkata sejak dilancarkan, penggunaan aplikasi MySejahtera adalah melalui pendekatan ‘perisian sebagai platform perkhidmatan’ (SaaS), di mana ia membantu kerajaan mengurangkan masa kitaran diperlukan untuk membangunkan sesuatu perisian baharu.

Menurut Khairy penggunaan dan pengurusan datanya pula perlu mematuhi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), Akta Perubatan 1971 dan piawaian antarabangsa, selain tidak boleh dikongsi KKM dengan mana-mana agensi kerajaan mahupun swasta.

“KKM berharap orang ramai akan terus menggunakan aplikasi MySejehtera tanpa ragu-ragu. Kerahsiaan data orang ramai adalah terjamin, dan KKM akan sentiasa memastikan aspek ini tidak dikompromi,” katanya.

Jelasnya lagi, transaksi data daripada aplikasi MySejahtera yang kini mempunyai lebih 10 modul serta 38 juta pengguna berdaftar, dimuat naik ke jaringan pelayan awan setiap hari dan hanya boleh diakses untuk kegunaaan aplikasi MySejahtera sahaja.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1088
Kongsi :
Previous post Johor, Persekutuan kerjasama pastikan pembukaan semula sempadan Malaysia – Singapura lancar
Next post Pancing keli Pulau Gadong, dapat RM10,000
Ubah saiz-+=