Kerajaan tidak campur urusan debat Anwar, Najib – Annuar Musa

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

BANDA HILIR 17 April – Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOM) tidak menerima sebarang permohonan daripada mana-mana individu berkaitan platform penyiaran debat perdana antara Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 12 Mei depan.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, kerajaan tidak mencampuri urusan debat itu berikutan ia berkaitan debat individu dan tidak kena-mengena dengan kerajaan.

Katanya, sehingga kini tiada pihak tampil membuat permintaan mengenai platform penyiaran itu.

“Setakat yang saya tahu, ia (debat) tidak ada kena-mengena dengan kerajaan (sebaliknya) debat antara individu, jadi kerajaan tidak campur.

“Debat itu masih di peringkat individu, tidak melibatkan kerajaan mahupun pemimpin kerajaan malah tidak ada sesiapa yang meminta perkara itu setakat ini.

“Ia adalah antara dua individu cabar-mencabar kebetulan kedua-duanya tidak ada posisi dalam kerajaan, seorang ketua pembangkang manakala seorang ‘back ventures’ kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Iftar di Hotel Doubletree di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam dunia teknologi yang semakin maju, media sosial boleh digunakan sebagai platform untuk bersiaran secara langsung.

“Teknologi sekarang boleh sahaja buat ‘live’, mungkin ada stesen yang mahu memberikan platform itu, apapun itu kemudian.

“Setakat ini tiada permohonan lagi, bagi saya senang sahaja dua-dua Ahli Parlimen, dalam Parlimen boleh berdebat,” katanya.

Sebelum ini, media melaporan kedua-dua tokoh politik itu dijangka bertemu dalam program debat perdana bagi membincangkan mengenai isu Sapura Energy Bhd (SEB) dan masa depan negara pada 12 Mei depan.

Pengumuman program debat perdana itu dibuat Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Fahmi Fadzil dan Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor Isham Jalil dalam satu sidang media petang tadi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

734
Kongsi :
Previous post Pegawai kanan bomba cedera, isteri parah dalam kemalangan
Next post Pembangunan 5G di Melaka dijangka bermula hujung tahun ini
Ubah saiz-+=