Sorting by

×

Kerajaan teruskan latihan PLKN, akan jalani latihan di kem tentera

Masa Membaca:3 Minit, 5 Saat

KUALA LUMPUR, 9 Okt – Kerajaan akan meneruskan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 dengan kaedah latihan yang berbeza, termasuk memerlukan anak muda menjalani latihan di kem tentera, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata terdapat 13 kem tentera Wataniah yang boleh menampung sebanyak 20,000 pelatih bagi latihan PLKN selama 45 hari.

“Kerajaan telah memikirkan untuk meneruskan semula PLKN ini. Jemaah Menteri pada 2021 telah pun meluluskan untuk mengkaji semula cara baharu untuk meluluskan PLKN kerana ia amat baik untuk memberikan asas ketatanegaraan kepada belia kita.

“Satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan Kementerian Pertahanan (MINDEF) untuk mengkaji bagaimana cara kita hidupkan semula PLKN ini, tetapi dengan template (acuan) baharu, bukan dengan menggunakan template lama yang dulu dilakukan lebih kepada kem musim panas.

“Tetapi kita mahu kali ini (PLKN dilaksanakan) tanpa berbelanja banyak, tetapi lebih memberikan pulangan baik kepada modal insan yang akan menyertainya nanti,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) yang ingin tahu sama ada kerajaan mempertimbangkan cadangan pelaksanaan semula PLKN sebagai satu inisiatif di bawah kementerian.

Menurut Mohamad, PLKN 3.0 ini akan dilaksanakan secara dua fasa iaitu Fasa 1 dilakukan di peringkat sekolah melibatkan pelajar tingkat empat dengan program badan beruniform yang sedia ada diperkasakan lagi.

“Lepas (menduduki) SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), mereka masuk Fasa 2 dan belia-belia yang lahir pada proses PLKN Fasa 2 disambut pula kelahirannya oleh agensi lain.

“Kalau tidak, dahulu pergi hore-hore, selepas itu tidak ada apa-apa, tidak ada kesinambungan. ‘Kelahiran’ mereka ini tidak disambut dan mereka terpinga-pinga, dengan semangat berkobar-kobar tetapi mereka tidak tahu apa-apa,” katanya.

Beliau berkata di bawah PLKN Fasa 2, latihan hanya mengambil masa 45 hari dengan 90 peratus modulnya bersifat ketenteraan untuk membina jati diri mereka sebagai belia yang kuat, bertenaga dan sihat, manakala 10 peratus lagi berasaskan tata negara.

Mohamad berkata langkah itu juga sebagai penyediaan guna tenaga belia terlatih yang mempunyai jati diri dan semangat cintakan negara yang kemudian boleh diserap oleh agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Selain itu, katanya langkah mengadakan PLKN 3.0 di kem tentera dan pusat latihan polis mampu mengurangkan kos daripada lebih RM500 juta setahun yang ditanggung kerajaan sebelum ini kepada RM100 juta setahun dengan tenaga pengajar dalam kalangan tentera itu sendiri.

Mohamad berkata PLKN 3.0 itu juga tidak akan menggunakan acuan Singapura dan Korea kerana ia lebih bersifat kerahan tenaga, namun akan menggunakan acuan sendiri yang diubah suai.

Katanya, kertas kerja berhubung perkara itu kini sedang disiapkan di peringkat kementerian dan akan dibentangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk diluluskan, sebelum PLKN 3.0 bermula.

PLKN mula diperkenalkan pada Disember 2003 sebagai program yang menyediakan modul latihan selama tiga bulan meliputi modul fizikal, kenegaraan, pembinaan karakter dan khidmat komuniti dengan 85,000 hingga 95,000 pelatih setahun, manakala purata perbelanjaan sebanyak RM600 juta setahun.

Ia kemudian dihentikan selama setahun pada 2015 ekoran langkah rasionalisasi perbelanjaan dan diperkenalkan semula pada 2016 sebagai PLKN 2.0 dengan jumlah pelatih hanya kira-kira 20,000 orang setahun sebelum dimansuhkan pada Ogos 2018.

Sementara itu, pada sidang media di lobi Parlimen, Mohamad berkata kapal tempur pesisir (LCS) pertama dijangka siap pembinaannya pada Okt 2026 dengan semua kelengkapan utama sudah siap dipasang.

Selepas siap pembinaannya, beliau berkata LCS itu akan dibawa ke limbungan untuk melalui dua ujian iaitu ujian penilaian di pelabuhan dan di laut, yang mengambil tempoh hingga 11 bulan.

Sekiranya melepasi kedua-dua ujian itu katanya, barulah LCS berkenaan diluluskan untuk digunakan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi tujuan mempertahankan kedaulatan perairan negara.

— BERNAMA

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1486
Kongsi :
Previous post CTRM hab kalibrasi rantau Asia Pasifik
Next post Laman Sebang ‘port’ riadah baharu
Ubah saiz-+=