Kerajaan teliti keperluan buka tanah perkuburan Islam pesakit COVID

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

PORT DICKSON 31 Julai – Keperluan untuk membuka tanah perkuburan Islam yang dikhususkan bagi pengebumian jenazah pesakit COVID-19 akan diteliti, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata perkara itu akan dibincangkan bersama Majlis Fatwa Kebangsaan dan para mufti terlebih dahulu bagi mendapatkan pandangan serta saranan berkenaan keperluan tersebut.

“Kami perlukan dapatan dan perbincangan, setakat ini tumpuan adalah Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur) terlebih dahulu.

“Sekurang-kurangnya kami dapat memberi satu cara yang terbaik dalam menguruskan mereka yang meninggal dunia akibat COVID-19,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada 200 pengusaha kantin dan pekerja pembersihan secara pandu lalu anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), di sini hari ini.

Beliau berkata setakat hari ini, lebih RM1 juta peruntukan dibelanjakan Yadim bagi membantu rakyat di seluruh negara terutama yang terkesan akibat pandemik COVID-19 dengan kerjasama pelbagai pertubuhan bukan kerajaan.

Sementara itu, Zulkifli menasihatkan kepada pihak yang mempunyai perbezaan pendapat dan idea agar tidak menggunakan media sosial sebagai medan bertelagah atau berdebat, sebaliknya perlu berdamai serta berunding secara baik.

“Saya yakin perkara sekusut mana pun akan dapat diselesaikan, justeru buanglah yang keruh dan ambil yang jernih. Sentiasalah bermaafan dan muhasabah diri, maka kita boleh ke depan terutama dalam memberi bantuan, menyampaikan dakwah sekali gus menyatukan ummah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

716
Kongsi :
Previous post Busana Jalur Gemilang curi tumpuan di PPV UiTM Lendu
Next post Melaka bincang keperluan buka tanah perkuburan khas COVID-19 Selasa ini.
Ubah saiz-+=