Sorting by

×

Kerajaan serius laksana transformasi digital negara, mahu rakyat sedar – PM

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

SERDANG, 16 Jan – Kerajaan serius dalam melaksanakan transformasi digital negara dan ingin memastikan rakyat menyedari sepenuhnya inisiatif berhubung perkara itu sekali gus menjadi celik digital serta celik kecerdasan buatan (AI), kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kita tidak ada pilihan selain memastikan rakyat menyedari sepenuhnya apa yang saya sebut sebagai celik digital dan celik AI,” katanya kepada media selepas melancarkan program AI Untuk Rakyat di Universiti Putra Malaysia di sini hari ini.

AI Untuk Rakyat adalah program pembelajaran kendiri dalam talian yang direka untuk meningkatkan pemahaman dan kesedaran orang ramai terhadap AI.

Susulan peluncuran program itu, Anwar menyasarkan sejuta pengguna menjelang akhir tahun ini.

Dilaporkan bahawa sektor digital Malaysia memberikan sumbangan yang signifikan iaitu 23.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar manakala impak ekonomi digital dijangka terus meningkat dan diunjurkan menyumbang sebanyak 25.5 peratus kepada ekonomi negara pada 2025 serta mewujudkan hingga 500,000 peluang pekerjaan.

Turut hadir Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Anwar juga berkata program AI Untuk Rakyat sewajarnya dimulakan secepat mungkin dalam kalangan penjawat awam dan pelajar.

“Ini adalah pengenalan kepada apa itu teknologi digital serta AI dan kita perlu mewajibkan pelajar dan penjawat awam menyertainya,” kata beliau.

Program itu menyaksikan kerajaan menjalin kerjasama dengan pengeluar cip semikonduktor Intel dan pengguna boleh mendaftar melalui empat langkah.

Perdana Menteri berkata bagi institusi pendidikan tinggi, Naib Canselor perlu memastikan semua pelajar mengikuti program kefahaman asas AI selama empat jam di portal itu.

Beliau turut meminta Ketua-Ketua Pengarah dan Naib Canselor mengemukakan laporan berhubung kecelikan AI kepada kementerian serta institusi masing-masing dalam tempoh sebulan.

“Apa yang dilakukan oleh AI untuk rakyat ini merentas kementerian, merentas jabatan. Oleh yang demikian, saya merasakan satu kerugian besar jika kita tidak memanfaat dan mewajibkan semua pelajar dan pensyarah untuk menguasai kefahaman asas ini,” katanya.

Anwar juga berkata beliau sendiri akan menyertai program itu malam ini.

“Malam ini, Rafizi akan periksa sama ada saya sudah buka atau tidak program ini,” katanya.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

937
Kongsi :
Previous post Fokus lahirkan bakat muda dalam seni silat
Next post Wanita terjatuh laut dari Jambatan P. Pinang dakwa ditolak rakannya
Ubah saiz-+=