Kerajaan sedia pelan sokongan jika terpaksa tangguh guna vaksin AstraZeneca

Masa Membaca:2 Minit, 42 Saat

ISKANDAR PUTERI 4 April. – Kerajaan mempunyai beberapa pelan sokongan jika terpaksa menangguhkan penggunaan vaksin COVID-19 AstraZeneca, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata perancangan itu dibuat sekiranya vaksin itu didapati tidak sesuai untuk digunakan di negara ini.

“Kalau kita terpaksa tunda atau sekiranya mendapati bahawa AstraZeneca tidak sesuai, kita ada beberapa perancangan lain (pelan sokongan). Sebagai contoh, kita ada satu tawaran dari Pfizer-BioNTech untuk tambah lagi 12.8 juta dos, iaitu tambahan daripada yang telah kita tempah iaitu lebih kurang 30 juta dos.

“Ini adalah masih lagi dalam pelan sokongan sekiranya ia (AstraZeneca) tidak boleh dipakai,” katanya dalam sidang media bersama Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad di Bangunan Dato Jaafar di sini, hari ini.

KHAIRY (kanan) bersama Hasni di Pejabat Menteri Besar Johor, Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar. Foto-Twitter Khairy.

Jelasnya Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), akan mengadakan mesyuarat pada Selasa depan bagi mendengar laporan daripada kumpulan pakar mengenai perkembangan vaksin berkenaan.

Beliau berkata, kumpulan pakar di Malaysia sedang mengikuti perkembangan vaksin tersebut dan mengambil maklum mengenai beberapa kes pembekuan darah, yang dikenal pasti oleh badan kawal selia dari United Kingdom (UK).

“Tetapi kita masih lagi sedang melihat data tersebut, dan apa sahaja keputusan berkenaan penggunaan vaksin ini akan kita maklum kemudian,” katanya.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, Malaysia dijadual mula menerima penghantaran vaksin AstraZeneca pada Mei iaitu melibatkan tempahan 6.4 juta dos bagi penggunaan 3.2 juta rakyat.

Bagaimanapun, Khairy menasihati orang ramai supaya tidak bimbang, kerana Malaysia ketika ini masih menggunakan vaksin Pfizer-BioNTech dan Sinovac.

Dalam pada itu, beliau berkata vaksin COVID-19 Novavax juga merupakan antara vaksin yang sedang dipertimbang kerajaan, dan dalam rundingan dengan pengeluarnya.

Ketika ditanya mengenai varian baharu COVID-19 iaitu South African B.1.351 yang dikesan di Malaysia baru-baru ini, beliau berkata pihaknya sedang mempertimbang untuk menambah vaksin yang dilihat berkesan terhadap varian agresif itu, seperti vaksin keluaran Pfizer-BioNTech, Novavax dan Johnson & Johnson.

Khairy berkata, pihaknya akan terus memantau dan membuat lebih banyak analisis genom virus yang dikesan, bagi mengetahui kes-kes varian di negara ini.

Sementara itu Hasni berkata, kerajaan negeri Johor akan membangunkan sebuah aplikasi khas bagi pendaftaran vaksin COVID-19 rakyat negeri ini yang bekerja dan berulang-alik dari Malaysia ke Singapura yang dikenali sebagai ‘Immu Plan Johor’, termasuk pelajar serta penjaga mereka.

“Pada peringkat awal aplikasi ini adalah untuk mereka yang bekerja di sana dan juga pelajar termasuk penjaga mereka. Jumlah awal yang kita bincangkan dan kemuka permohonan kepada MOSTI adalah melibatkan seramai 100,000 individu untuk pendaftaran vaksin ini,” katanya.

Pada masa yang sama Hasni berkata, kerajaan negeri sentiasa bersiap sedia dan berupaya dalam memastikan golongan itu menjadi keutamaan dalam menerima suntikan vaksin.

Sementara itu Khairy mengalu-alukan cadangan Kerajaan Negeri Johor bagi pembangunan aplikasi berkenaan.

“Apa yang kita lihat, kita boleh integrasikan senarai pendaftaran daripada aplikasi ini dengan MySejahtera… tidak ada masalah.

“Jadi aplikasi ini digunakan untuk menyenaraikan mereka yang berulang alik dari Singapura dan kita boleh juga ambil data itu serta dimasukkan ke dalam MySejahtera untuk beri mereka janji temu vaksin,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

397
Kongsi :
Previous post Tukang kayu juara memancing, bawa pulang RM25,000
Next post Siap siaga sebagai satu kumpulan, misi utama Pengarah baharu APM
Ubah saiz-+=