Kerajaan rangka sistem kawalan diesel bersubsidi – Ahmad Maslan
Beliau berkata kerajaan turut mengkaji kesan ke ata kos kenaikan harga barang sekiranya SKDS dilaksanakan kelak.
“Kerajaan akan memberi pendekatan berbeza kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi memastikan sektor ini tidak terjejas dengan pelaksanaan sistem tersebut.
“Namun, semuanya masih dalam kajian dan sistem ini hanya akan disiapkan pada separuh kedua tahun ini dan tarikh pelaksanaannya masih belum ditetapkan,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai rasional pelaksanaan dan langkah mitigasi untuk membantu sektor yang terkesan.
Sementara itu, Ahmad berkata kerajaan sedang meneroka langkah menambah baik pemberian subsidi secara lebih bersasar dalam mengurangkan ketirisan dan mengoptimumkan pembelanjaan kepada program dan projek yang memberi nilai tambah kepada rakyat dan ekonomi negara.
Ini bertujuan mengimbangi tanggungan subsidi dengan keperluan untuk memelihara kebajikan dan kesejahteraan rakyat, katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin (PN-Putrajaya) mengenai tarikh pelaksanaan subsidi bersasar seperti diumumkan Perdana Menteri pada 27 Nov, 2022 serta jaminan kerajaan bahawa harga barangan tidak akan meningkat apabila ia dilaksanakan kelak.
Ahmad berkata satu pasukan khas diwujudkan di bawah Kementerian Kewangan untuk bekerjasama dengan kementerian, jabatan dan agensi terlibat bagi meneliti keperluan dan kebolehlaksanaan subsidi secara bersasar di samping mengenal pasti kaedah berkesan yang boleh menjimatkan masa serta memberi implikasi kewangan paling minimum kepada kerajaan.
Ini termasuk mengumpul data dari Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Pendaftaran Negara, Lembaga Hasil Dalam Negeri, katanya.
“Penepatan kriteria kelayakan masih belum diputuskan, namun usaha membangunkan pusat data yang komprehensif sedang dibuat bagi membantu kerajaan menetapkan kriteria yang bersesuaian berdasarkan data yang diperolehi.
“Pelaksanaan pemberian subsidi secara bersasar ini akan dibuat secara berperingkat tertaluk kepada ketersedian serta mengekalkan fokus kerajaan dalam memastikan kos sara hidup rakyat terutama golongan B40 tidak terjejas,” katanya. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.