Kerajaan Persekutuan akan dibentuk dalam masa terdekat – Muhyiddin
Menurutnya beliau telah menerima kunjungan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang pagi ini berkenaan perkara itu.
“Rundingan juga sedang dibuat dengan parti-parti lain yang sehaluan dan Ahli Parlimen Bebas. Insya-Allah, kerajaan Persekutuan akan dapat dibentuk dalam masa terdekat,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook dan Twitternya, hari ini.
Beliau turut memuat naik sekeping gambar yang memperlihatkan perbincangan antara beliau, Abdul Hadi dan Abang Johari, yang juga merupakan Premier Sarawak.
Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semalam menyaksikan situasi Parlimen tergantung apabila tiada parti mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan Persekutuan baharu.
Pakatan Harapan (PH) memenangi 82 kerusi, PN (73); Barisan Nasional (30), Gabungan Parti Sarawak (GPS) (22), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) (6); Warisan (3); Bebas (2) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) serta Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) masing-masing meraih satu kerusi.
Semalam Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri berkata PN sedia menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti yang dapat menerima prinsip dan perjuangan gabungan itu dalam membentuk kerajaan yang bersih dan stabil, kecuali dengan PH. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.