
KERAJAAN PERPADUAN SEMAKIN MATANG, SELESAI MASALAH RAKYAT
BUKIT KATIL 11 April – Selepas tiga tahun, pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dilihat semakin matang.
Ahli Parlimen Alor Gajah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Katil, Adly Zahari berkata, perkembangan positif itu membuktikan model Kerajaan Perpaduan melibatkan gabungan pelbagai parti politik sebagai berjaya.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Pertahanan berkata, Kerajaan Perpaduan sentiasa berusaha untuk memperkasakan lagi perkembangan ekonomi Malaysia dari semasa ke semasa.
Katanya, selain itu Kerajaan Perpaduan amat cakna terhadap isu semasa khusus masalah yang membebankan rakyat di negara ini.
“Ketika awal pentadbiran Kerajaan Perpaduan berhadapan pelbagai isu melibatkan rakyat khususnya pertanian dan keterjaminan makanan selain bekalan barangan keperluan terputus atau sebagainya. Malah sebelum Aidilfitri baru-baru ini juga masih ada isu seperti bekalan santan yang dikatakan tidak mencukupi.
“Alhamdulillah semua masalah dan isu ini berjaya kita atasi menggunakan formula daripada kementerian yang terlibat,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil di Dewan Datuk Demang Hussin, di sini, semalam.
Majlis itu dimeriahkan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh dan Pegawai Undang-Undang Negeri, Khairul Azreem Mamat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.