Kerajaan perlu setengah trilion ringgit jika laksana PKP penuh – PM
KUALA LUMPUR 23 Mei – Perdana Menteri mendedahkan kerajaan perlu membelanjakan sekurang-kurangnya setengah trilion ringgit sekiranya melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh seperti yang dilakukan pada PKP 1.0 Mac tahun lalu.
Beliau berkata, pada ketika itu (PKP 1.0), pihaknya terpaksa membelanjakan sekitar RM340 bilion untuk membangunkan semula ekonomi dengan memperkenalkan enam pakej rangsangan untuk membantu rakyat.
Namun ujar beliau, jika ia dilaksanakan sekali lagi, jumlah perbelanjaan itu tidak akan sama seperti PKP 1.0 lalu yang mana mengikut keadaan kewangan semasa negara ia sukar untuk ditampung.
“Kalau perlu buat sekali lagi (PKP penuh), RM340 bilion seperti yang kita belanjakan dahulu tidak cukup, Mungkin saya kena sediakan RM setengah trilion. Kita ada duit lagi ke untuk sediakan setengah trilion?
“Betul, kita memang boleh tutup (ekonomi), tetapi untuk buka semula nanti, sistem itu boleh runtuh.
“Jadi, kita sudah belajar yang mana kita kena imbangkan ‘live’ dan ‘livelihood’. Jadi sebab itulah kita buat keputusan berdasarkan situasi keadaan. Inilah yang rakyat perlu faham,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Bicara Khas Eksklusif bersama Perdana Menteri yang dipancarkan secara langsung menerusi RTM dan Bernama TV, sebentar tadi.
Muhyiddin bagaimanapun mengakui pelaksanaan PKP penuh seperti yang dilaksanakan awal dahulu merupakan cara terbaik untuk mengawal situasi semasa COVID-19 yang kian memuncak kini.
Namun, jelasnya, dalam satu sudut berbeza, beliau perlu melihat kesannya kepada negara dan kehidupan rakyat.
“Secara peribadi memang PKP 1.0 adalah yang terbaik. Maknanya kita tutup kilang dan semuanya. Kita duduk di rumah sahaja dan itu terjamin selamat serta memudahkan kerajaan dan KKM mengawal situasi.
“Tetapi bila kita buat begitu, negara rugi RM2.4 bilion sehari dan kita laksanakan hampir dua bulan, jadi bayangkan kerugian itu.
“Ia bukan kerugian dari segi wang ringgit tetapi lebih kepada rakyat hilang pekerjaan. Kesannya terlalu besar kepada rakyat walaupun saya merasakan PKP 1.0 itu adalah yang terbaik,” katanya lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.