Sorting by

×

Kerajaan pastikan fasa dua Lebuhraya Pan Borneo Sarawak diteruskan – PM

Masa Membaca:2 Minit, 8 Saat

SERIAN, 5 Dis – Kerajaan akan memastikan pembinaan Fasa Dua Lebuhraya Pan Borneo Sarawak dari Pujut ke Lawas diteruskan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pembinaan fasa kedua projek mega itu sebelum ini telah diluluskan oleh kerajaan Persekutuan dibawah Barisan Nasional, namun katanya, dibatalkan setelah Kerajaan Persekutuan bertukar selepas Pilihan Raya Umum 2018.

“Saya beri komitmen bahawa saya bersama Fadillah (Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof) dan CM (Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Tun Openg), kita akan bincang bagaimana nak teruskan fasa dua dan jalan-jalan yang disebut sebagai redline dan missing link (laluan yang tidak disambung) ini.

“Saya juga beri komitmen kita tak akan berhenti setakat itu sahaja, kita akan teruskan segala projek untuk Sarawak,” katanya dalam ucapannya sebelum merasmikan pembukaan Jajaran Seksyen Serian Pakej Kerja Tiga Lebuhraya Pan Borneo, hari ini.

Turut hadir pada majlis perasmian itu ialah Abang Johari dan Fadillah.

Jajaran Seksyen Serian sepanjang 33.65 kilometer yang siap sepenuhnya semalam, melibatkan kerja menaik taraf Jalan Persekutuan sedia ada dari Bulatan Serian ke Balai Ringin dengan kos keseluruhan RM700 juta.

Ia merupakan sebahagian dari Pakej Kerja Tiga projek Lebuhraya Pan Borneo dari Bulatan Serian ke Simpang Pantu dengan panjang keseluruhan 75.015 km.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata Kerajaan Persekutuan melihat projek Lebuhraya Pan Borneo ini sangat penting untuk rakyat Sarawak bukan sahaja untuk memudahkan perjalanan tetapi meningkatkan ekonomi rakyat setempat.

Sebenarnya kata beliau, banyak lagi dirancang kerajaan BN sebelum ini untuk Sarawak tetapi berubah selepas pertukaran Kerajaan Persekutuan pada 2018.

“Saya nak sebutkan kesan pertukaran kerajaan amat besar bukan sahaja di peringkat Persekutuan tetapi juga negeri,” katanya.

Selain infrastruktur jalanraya, Kerajaan Persekutuan juga memberi fokus kepada capaian internet dengan sasaran 100 peratus capaian internet akan dapat dicapai seluruh Sarawak menjelang penghujung tahun hadapan, kata beliau.

“Tumpuan kerajaan kini ke arah ekonomi digital kerana dunia sudah berubah, semuanya di hujung jari.

“Oleh itu, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah besar bagi projek Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) iaitu RM4 billion lebih untuk capaian internet lebih baik di Sarawak,” katanya.

Kerajaan Persekutuan katanya, memberi keutamaan terhadap pembangunan Sabah dan Sarawak dan ini terbukti, apabila peruntukan perbelanjaan pembangunan infrastruktur bagi Negeri Di Bawah Bayu dan Bumi Kenyalang adalah 20 peratus lebih tinggi daripada peruntukan pembangunan yang diagihkan ke negeri-negeri lain di bawah Bajet 2022.

“Langkah ini bagi memastikan negeri Sabah dan Sarawak bersama-sama membangun seiring dengan aspirasi Keluarga Malaysia.

“Ia sekali gus dapat merapatkan lagi jurang pembangunan antara dua negeri ini dengan negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia,” katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1122
Kongsi :
Previous post TM confirms signing up for 5G trials with Digital Nasional
Next post Gempa bermagnitud 6.1 gegar selatan Filipina
Ubah saiz-+=