Kerajaan pantau rapi jika ada jangkitan susulan telur tercemar – KPDNHEP
AYER KEROH 21 Oktober – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memantau rapi sekiranya terdapat isu jangkitan penyakit susulan isu bekalan telur tercemar mengandungi bakteria.
Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan Perdagangan Dalam Negeri (TKSU PPDN) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDNHEP), Datuk Roziah Abudin berkata bagaimanapun isu telur tercemar mengandungi bakteria Salmonella Enteritidis (SE) itu adalah hal terpencil.
Katanya, kes pencemaran itu hanya membabitkan satu ladang dan tidak merebak ke ladang lain dan ianya telah ditarik balik oleh Kerajaan Singapura.
“Mengenai isu telur yang dijangkiti bakteria SE itu, telah pun ditarik balik oleh kerajaan Singapura dan ia hanyalah hal terpencil.
“Namun kerajaan tetap akan memantau rapi sekiranya berlaku jangkitan penyakit disebabkan bekalan telur tercemar atau mengandungi bakteria ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2022 di sebuah pasar raya di sini hari ini.
Hadir sama, Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Ngwe Hee Sem dan Pengarah KPDNHEP Negeri, Norena Jaafar.
Semalam, media melaporkan Kerajaan Johor menafikan dakwaan tular di media sosial kononnya telur ayam tercemar mengandungi bakteria Salmonella Enteritidis (SE) dijual semula di pasaran negeri ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.