
KERAJAAN NEGERI TINGKAT PERUNTUKAN, PERKASA KOPERASI DI MELAKA
AYER KEROH 26 Mac – Kerajaan Negeri memperuntukkan sehingga RM300,000 bagi membangunkan koperasi -koperasi di Melaka.
Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin berkata tahun lalu peruntukan hanya sebanyak RM100,000 namun ditingkatkan jumlahnya bagi 2025 menerusi Bajet Negeri Melaka 2025.
Katanya, peningkatan peruntukan itu bertujuan untuk memperkasakan koperasi berdaftar yang ada di negeri ini.
“Sehingga 20 koperasi di bawah kluster mikro yang boleh diberi bantuan dengan jumlah RM10,000 satu koperasi, untuk pecahan RM7,000 boleh digunakan untuk pihak koperasi membeli peralatan, mesin dan sebagainya, manakala RM3,000 dijadikan modal pusingan.
“Dengan peningkatan peruntukan diberi, kita boleh buat program-program yang berkaitan dengan koperasi dan membantu koperasi lebih memahami serta menghadapi cabaran dalam dunia yang semakin mencabar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas sesi walkabout di Pasar Ramadan MITC di tapak parkir Masjid Al-Alami, di sini, semalam.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Datuk Amran Abd Kadir dan Pengarah SKM Melaka, Mustafa Kamal Mohd Nor.
Mengulas lanjut, Allex Seah berkata SKM Melaka turut melanjutkan program yang dipanggil E-KoMas atau Ekonomi Koperasi Masjid.
Jelasnya, Koperasi Masjid Al-Alami merupakan satu-satunya koperasi yang mempunyai Pasar Ramadan di negeri ini.
“Dengan sewaan serendah RM400 satu tapak, koperasi ini berjaya menjalankan perniagaan sepanjang Ramadan. Lebih 100 tapak di Pasar Ramadan ini berjaya memberi manfaat kepada ramai anggota koperasi masjid.
“Kita harap contoh seperti ini dapat menjadi ikutan kepada koperasi lain,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.