Kerajaan negeri tidak pernah pinggir peniaga – Norhizam
BANDA HILIR 12 Sept – Kerajaan negeri tidak pernah meminggirkan mana-mana peniaga khususnya mereka yang terkesan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Exco Usahawan, Datuk Norhizam Hassan Baktee berkata ia termasuklah memikirkan masalah serta keperluan peniaga-peniaga kecil di negeri ini.
“Insya-Allah saya akan bantu peniaga, inilah tugas saya sebagai Exco Kerajaan Negeri Melaka dan kita tidak akan pinggirkan mereka.
“Saya tahu mereka yang niaga makanan di sini ada yang sampai terpaksa buang barang mereka bila makanan dah tamat tarikh luput.
“Usahawan semua di bawah jagaan saya, saya akan bantu mereka sekadar mampu dan kita tengok apakah keperluan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Penyerahan Kit Makanan pada Usahawan Kraf Rumah Merah dan Medan Samudera di Medan Samudera Banda Hilir, hari ini.
Hadir sama Pengerusi Japerun Banda Hilir, Datuk Abdul Razak Abdul Ahmad dan Pengerusi Pertubuhan Pembela Klebang Besar, Datuk Mohd Yusof Abu Hassan.
Katanya telah pun berbincang dengan usahawan terlibat mengenai bantuan diberikan kerajaan sewaktu pandemik COVID-19 melanda negara.
“Kerajaan negeri memang ada bagi bantuan secara one-off iaitu Dana Kasih RM1,000 dan RM350 melalui Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).
“Malah peniaga juga diberikan pengurangan sewa dari Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sebanyak 50 peratus dan banyak lagi, ada juga premis yang kita langsung tak kutip sewa,” katanya.
Dalam pada itu, Norhizam berharap Melaka akan dikunjungi pelancong domestik selepas negeri ini beralih kepada Fasa 3.
“Saya yakin dalam bulan 10 ke bulan 11, Melaka akan masuk Fasa 3 mengikut proses vaksinasi dan kita akan buka semula sektor pelancongan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.