Kerajaan negeri sumbang RM540,000 kepada e-Kasih untuk carum i-Suri

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

KUALA SUNGAI BARU 25 Sept. – Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM540,000 kepada golongan wanita yang mendaftar menerusi sistem Pangkalan Data Kemiskinan Nasional (eKasih) bagi mencarum Program Caruman Sukarela Insentif Suri (i-Suri) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali berkata sebanyak 9,534 wanita yang mendaftar menerusi sistem itu layak untuk menerima insentif kerajaan negeri selepas mendaftar sebagai ahli i-Suri.

Jelasnya, dalam keadaan ekonomi tidak menentu, kerajaan negeri mengambil peduli nasib rakyat yang membolehkan golongan wanita terutama dari golongan suri rumah, balu atau ibu tunggal yang kurang berkemampuan untuk dibantu sekaligus menjamin kewangan masa hadapan golongan itu.

“Kerjaaan negeri mengeluarkan sedikit jumlah peruntukan dan selebihnya akan dibantu oleh kerajaan Persekutuan.

“Menerusi insentif itu mereka dapat mencarum sebanyak RM450 setahun,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Financila Well-Being & Insentif i-Suri peringkat negeri Melaka di Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Wira Ar Ismail bin Othman; Naib Canselor Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM), Datuk Profesor Dr. Mohd Taib Dora dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Dato’ Mohd Naim Daruwish.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata susulan pelancaran program pengurusan kewangan itu, agensi berkaitan terutama pihak KWSP akan menjelajah ke 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi pendedahan kepada golongan wanita yang kurang berkemampuan untuk menjadi ahli i-Suri.

“Saya menyarankan kepada pendaftar e-kasih supaya menghubungi pejabat JAPERUN (Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri) kawasan masing-masing untuk mendapatkan maklumat selanjutnya berkaitan i-Suri,” katanya.

Untuk rekod, i-Suri dikhaskan bagi wanita berdaftar dalam e-Kasih membabitkan isteri kepada Ketua Isi Rumah (KIR) serta KIR wanita, iaitu balu, bercerai atau bujang bersama syarat, warga negara Malaysia dan belum mencapai usia 60 tahun

Views:

446
Kongsi :
Previous post Jabatan Pendidikan Melaka bimbang lebih 1,200 calon SPM gagal hadir ke sekolah
Next post RON95, RON97 naik lima sen, diesel naik empat sen
Ubah saiz-+=