KERAJAAN NEGERI SUMBANG RM30,000 UNTUK IPD SELURUH MELAKA
TANJUNG BIDARA 15 Disember – Kesemua tiga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dalam Negeri Melaka menerima sumbangan berjumlah RM30,000 daripada Kerajaan Negeri Melaka.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sumbangan itu bagi membolehkan keluarga polis yang memerlukan bantuan dapat dibantu dan disantuni sebaiknya.
“Dengan sumbangan RM10,000 bagi setiap IPD itu diharap dapat menyantuni bukan sahaja pesara-pesara polis yang memerlukan bantuan tetapi juga anak polis.
“Saya berharap sumbangan daripada Kerajaan Negeri ini dapat dimanfaatkan sebaiknya dalam menyantuni mereka yang memerlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Hadiah Sempena Program Kerajaan Negeri Bersama PDRM Yang turut dihadiri Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain, di Villa d’Acqua Kampung Pulau, hari ini.
Hadir sama, Ketua Menteri Melaka Ke-12, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.
Menurut Ab Rauf, Kerajaan Negeri juga begitu komited dalam menjalinkan kerjasama bersama PDRM bagi memastikan petugas barisan hadapan di negeri ini dapat menjalankan tugas dengan selesa menerusi penambahbaikan yang dilakukan.
“Kerajaan Negeri mengucapkan trima kasih kepada Ketua Polis Negara kerana bersama-sama dalam menyantuni dan menyampaikan mesej polis kepada rakyat.
“Selain menyantuni rakyat, kedua-dua pihak juga turut menelusuri akar dengan menyantuni anggota polis yang sudah bersara dengan memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
Menurut beliau, kesinambungan jalinan antara Kerajaan Negeri dan PDRM itu bermula daripada pengiktirafan yang Kerajaan Negeri kepada beberapa tokoh termasuk mantan Ketua Polis Negara iaitu Tan Sri Abdul Rahim Mohd yang berasal dari Melaka.
Terdahulu, Ab Rauf bersama Razarudin meluangkan masa hampir dua jam dalam lawatan Ziarah Kasih ke tiga buah rumah pesara polis di sekitar Masjid Tanah.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.