![Whatsapp Image 2025 02 13 At 2.30.57 Pm](https://www.melakahariini.my/wp-content/uploads/2025/02/WhatsApp-Image-2025-02-13-at-2.30.57-PM.jpeg?v=1739429503)
KERAJAAN NEGERI SALUR BANTUAN KEPADA KELUARGA MANGSA KEBAKARAN
JASIN 13 Februari – Kerajaan Negeri menyalurkan bantuan awal sebanyak RM2,000 bagi meringankan beban keluarga lima beranak yang terkorban dalam kebakaran di Kampung Berangan Enam, Umbai, awal pagi tadi.
Bantuan itu disampaikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh ketika mengiringi Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam menziarahi Muhammad Khairuddin Saari, 35, bapa dan suami kepada korban kebakaran tersebut yang kini sedang dirawat di Jabatan Kecemasan Hospital Jasin.
Turut hadir, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Siti Faizah Abdul Azis dan Pengarah Hospital Jasin, Dr. Azhar Mohd Sali.
Dalam kunjungan itu, Ab Rauf turut menitipkan kata-kata semangat kepada Muhammad Khairuddin dan mendoakan mangsa tabah atas kehilangan lima ahli keluarga dalam sekelip mata.
Terdahulu, Melaka Hari Ini melaporkan lima sekeluarga termasuk empat kanak-kanak rentung selepas rumah separa kekal didiami mereka di Kampung Berangan Enam, Umbai, awal pagi tadi.
Dalam kebakaran kira-kira jam 1.30 pagi itu, mangsa yang terkorban adalah ibu bersama dua anak lelaki dan dua anak perempuan iaitu Laila Fathinah Mustapa, 37; Nur Damia Batrisyia Abdullah, 13; Izz Daffa Hafizuddin, 7; Nur Dalilah Khadijah, 6 dan Izz Danish Fathi, 2 tahun.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.