Sorting by

×

Kerajaan negeri rancang bina 46,010 unit RMM

Masa Membaca:3 Minit, 26 Saat

AYER KEROH 26 Sept.- Kerajaan negeri melalui kerjasama erat dengan pemaju swasta dan kerajaan merancang membangunkan 46,010 unit rumah mampu milik (RMM) di seluruh negeri ini dalam tempoh lima tahun akan datang (2020- 2025).

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, daripada jumlah itu, 31,022 unit RMM dibangunkan oleh agensi kerajaan negeri Melaka dan pihak swasta, manakala 14,988 unit lagi sedang dibangunkan oleh agensi kerajaan persekutuan seperti PR1MA, Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB), Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) dan Jabatan Perumahan Negara (JPN).

“Daripada jumlah RMM sebanyak 46,010 unit tersebut, sehingga 31 Ogos lalu sebanyak 8,206 unit telah siap dibina, 20,297 unit sedang dalam pembinaan, manakala 17,507 unit lagi telah mendapat kelulusan dan akan dimulakan dalam masa terdekat,” katanya dalam ucapan ketika melancarkan Projek Bandar Botani Parkland, Jasin secara maya, hari ini.

SULAIMAN (tengah) melakukan gimik pelancaran Projek Bandar Botani Parkland, Jasin secara maya.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Ts. Kamel Mohamed; Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan Dan Alam Sekitar, Datuk Seri Abdul Ghaffar Atan’;
Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ghazale Muhammad; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin Datin Sapiah Haron dan Pengarah Urusan, Parkland Group, Tee Kai Loon.

Ketua Menteri berkata, Projek Bandar Botani Parkland, Jasin adalah projek usahasama Lembaga Perumahan Melaka bersama pihak pemaju, Parkland Group.

 

 

Katanya, keseluruhan projek perumahan bercampur itu seluas 652 ekar (263.855 hektar) mengandungi 3,891 unit rumah berkonsepkan kejiranan berpengawal.

“Komponen projek pembangunan perumahan ini
adalah terdiri daripada 386 unit rumah teres mampu milik 1 tingkat berharga RM100,000 seunit; 389 unit rumah teres mampu milik 1 tingkat berharga RM180,000 seunit; selain terdapat rumah teres 1 tingkat dan 2 tingkat; rumah kluster 1 tingkat dan 2 tingkat; rumah berkembar 1 tingkat dan 2 tingkat; rumah banglo 1 tingkat dan 2 tingkat; lot kedai pejabat mampu milik; lot kedai pejabat; lot perniagaan dan lot industri kecil dan sederhana (IKS).

“Sebelum Program Bandar Botani Parkland, Jasin, Melaka dilancarkan pada hari ini, saya dimaklumkan 386 unit rumah teres mampu milik 1 tingkat berharga RM100,000 seunit sudah habis ditempah dan dijual manakala terdapat sedikit lagi unit rumah mampu milik 1 tingkat berharga RM180,000seunit yang masih boleh ditempah,” katanya.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, Pembangunan Projek Bandar Botani Parkland
adalah pembangunan berkonsep yang pertama di Melaka yang mementingkan gaya hidup berkualiti untuk semua lapisan masyarakat.

Katanya, pemaju memperkenalkan konsep Taman Bandar Bersama Kanal Buatan Manusia seluas 30 ekar (12.14 hektar) yang mengandungi kemudahan kesihatan seperti trek jogging dan berbasikal, taman permainan kanak-kanak dan gelanggang bola sepak, badminton, sepak takraw dan bola keranjang.

“Pembangunan ini juga menyediakan instrastruktur yang terbaik terutamanya pembukaan jalan utama baru sepanjang 9.2 kilometer yang menghubungkan Lebuhraya AMJ ke Bandaraya Melaka, Bandar Jasin dan Lebuhraya Utara Selatan Jasin.

“Jalan raya utama kini dalam proses pembinaan dan dijangka siap pada penghujung bulan Disember ini.

“Oleh itu, saya menggesa semua penduduk Negeri Melaka khasnya dan rakyat Malaysia amnya yang berkelayakan supaya segera mengambil peluang untuk memiliki rumah mampu milik yang berkualiti dan bermutu tinggi ini,” katanya lagi.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus meminta pemaju-pemaju perumahan melaksanakan RMM seumpama itu dalam projek-projek perumahan akan datang.

Sulaiman menegaskan pembangunan perumahan mampu milik di Melaka kini menjadi agenda pembangunan terpenting di bawah Kerajaan Negeri Melaka selaras hasrat kerajaan pusat iaitu meringankan bebanan kehidupan rakyat dan menambah pembangunan projek perumahan.

“Projek Bandar Botani Parkland ini antara usaha, komitmen dan kesungguhan kerajaan negeri untuk memenuhi keperluan perumahan penduduk melalui konsep perkongsian pintar’ antara kerajaan negeri dan pemaju swasta dalam membangunkan projek RMM.

“Penyediaan kemudahan perumahan yang mencukupi seperti projek RMM yang dilancarkan pada hari ini adalah daya usaha secara berterusan dan bersungguh-sungguh oleh kerajaan negeri.

“Selain RMM kerajaan negeri juga mempunyai berbagai inisiatif bagi penyediaan rumah kepada golongan berpendapatan rendah (B40)
seperti Program Perumahan Rakyat (PPR), rumah
sejahtera, rumah prihatin, rumah sewa dan Rumah Belia.

“Bagi memudahkan lagi penduduk negeri melaka untuk memiliki rumah, kerajaan negeri menyediakan kemudahan pinjaman perumahan melalui Melaka Finance House (MFH),” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1156
Kongsi :
Previous post Zoo Melaka disaran tambah baik perkhidmatan
Next post SPRM guna Dondang Sayang sebar mesej berkaitan rasuah, salah guna kuasa dan integriti
Ubah saiz-+=