Kerajaan negeri pandang serius dakwaan keracunan makanan di Pulau Perhentian Kecil – Exco
KUALA TERENGGANU, 6 Jun – Kerajaan Terengganu memandang serius dakwaan enam sahabat mengalami keracunan makanan semasa bercuti di Pulau Perhentian Kecil di Besut, yang dipercayai akibat pencemaran sisa kumbahan yang tidak dirawat baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri Ariffin Deraman berkata jabatan terlibat telah diarahkan mengambil sampel air yang didakwa tercemar dan melakukan pemantauan dengan segera terhadap isu yang tular itu.
“Kerajaan negeri memandang serius perkara itu terutama apabila melibatkan soal keselamatan pelancong, dan jika dakwaan tersebut didapati benar, ia sudah tentu memberikan imej negatif terhadap industri pelancongan negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Secara tidak langsung katanya, isu itu akan menjejaskan keyakinan pelancong untuk berkunjung ke pulau-pulau peranginan di Terengganu.
Bagaimanapun Ariffin berkata pihaknya difahamkan setakat ini Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) dan Pejabat Kesihatan Daerah Besut belum menerima sebarang laporan berhubung kes tersebut.
Katanya hasil semakan data kejadian keracunan makanan bagi 2021 hingga semalam (5 Jun), mendapati tiada sebarang notifikasi kes keracunan makanan yang berlaku di Pulau Perhentian.
Sabtu lepas, sebuah portal berita melaporkan enam sekawan mendakwa mereka mengalami keracunan makanan selepas berenang di perairan yang dipercayai tercemar dengan sisa kumbahan yang tidak dirawat di Pulau Perhentian Kecil.
Kesemua mereka mendakwa mula mengalami muntah-muntah pada malam terakhir ketika meluangkan masa bercuti selama dua malam di lokasi tarikan pelancong itu.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.