Kerajaan Negeri diseru rancang persediaan hadapi banjir lebih baik – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 24 Dis – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru kerajaan negeri merancang dengan lebih baik persediaan menghadapi banjir besar serta mengambil langkah pencegahan bagi memastikan kerosakan alam sekitar tidak memburukkan lagi keadaan sedia ada.
Beliau berkata selain faktor semula jadi dan geografi, faktor manusia juga boleh menjadi penyebab berlakunya banjir besar sehinggakan terdapat kawasan yang tidak pernah dilanda banjir besar, kini turut ditimpa bencana itu.
Menurutnya kerakusan pembalakan haram dan penerokaan hutan secara tidak terkawal mengakibatkan ekosistem terjejas teruk manakala kawasan tadahan hujan hilang fungsi.
“Penguatkuasaan atau pembanterasan penerokaan hutan secara haram, penerokaan hutan tanpa peduli pemeliharaan alam sekitar perlulah dihentikan,” katanya dalam hantaran di Facebook rasminya hari ini.
Ahmad Zahid berkata sistem saliran dan perparitan juga perlu diselenggarakan lebih baik termasuk aspek pendalaman supaya tidak berlaku takungan air dan tersumbat sekali gus menyebabkan banjir kilat mahupun banjir besar di desa atau perumahan di kota.
“Budaya menyelenggarakan seumpama ini sepatutnya menjadi amalan budaya kerja harian dan bukannya apabila berlaku banjir barulah diberikan perhatian,” katanya.
Ahmad Zahid berkata walaupun Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sentiasa bersedia dan mendapat peruntukan tambahan RM400 juta bagi kesiapsiagaan banjir hujung tahun ini, namun keprihatinan pemimpin turut dituntut dalam menghadapi bencana itu.
“Maka mana-mana pihak perlu lebih bersedia menghadapinya. Bercuti ke luar negara misalnya bukanlah keputusan terbaik ketika rakyat yang memilihnya dahulu ditimpa musibah,” katanya.
Selain itu, beliau menyeru pertubuhan bukan kerajaan, mangsa banjir dan ahli akademik untuk memberi maklum balas bagi membantu kerajaan membuat penyelesaian terbaik dalam menangani isu banjir dengan lebih baik dan berkesan.
Katanya apabila berlakunya banjir besar, ia akan mengakibatkan kehilangan nyawa, kerosakan hasil tanaman dan ternakan, kerosakan harta benda dan memusnahkan kemudahan infrastruktur yang ada.
“Mangsa banjir kehilangan rasa kebahagiaan, mengalami trauma, kenderaan rosak dan perlu dibaiki dan menyebabkan pendapatan terjejas malah hilang. Ini menyebabkan indeks kebahagiaan hidup merudum dan kesejahteraan hidup terjejas,” katanya.
Menurutnya pada 2021, Jabatan Perangkaan Malaysia menganggarkan jumlah kerugian akibat banjir di seluruh negara bernilai RM6.1 bilion yang meliputi kerosakan tempat kediaman, kenderaan, premis perniagaan dan infrastruktur.
Ini katanya tidak termasuk perbelanjaan besar dilakukan untuk bantuan pengurusan banjir besar, membaiki infrastruktur yang rosak teruk, menyediakan tempat perpindahan banjir dan pelbagai lagi perbelanjaan bagi memastikan rakyat dilindungi lebih baik. — BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.