Kerajaan negeri dan JPS tidak beretorik
TANJUNG BIDARA 12 Okt. – “Alhamdulillah, kerajaan negeri dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka tidak beretorik.”
Itulah dilafazkan Yusof Yaacob, 63, pengusaha 35 unit chalet yang diancam kerugian berjuta ringgit akibat hakisan pantai sejak Jun lalu.
Beliau memuji kerajaan negeri dan JPS yang disifatkannya sebagai tidak beretorik apabila berjaya membina tembok penahan ombak di hadapan chaletnya dan mengatasi
masalah hakisan yang serius hanya dalam tempoh tiga bulan.
Katanya, kerajaan negeri bertindak segera menyediakan peruntukan bagi membolehkan JPS membina tembok penahan ombak sepanjang kira-kira 100 meter dengan kerja pembinaan dimulakan pada awal September lalu dan siap sepenuhnya
kelmarin.
“Alhamdulillah, sudah rezeki saya untuk mendapatkan tembok penahan ombak dalam tempoh singkat sejak hakisan pantai serius menyebabkan lima pondok wakaf dan tempat membakar ikan di tepi pantai, ‘terjun’ ke dalam laut.
“Hakisan yang semakin teruk menyebabkan jarak gigi pantai dengan lantai dan dinding chalet hanya kira-kira satu meter pada awal September lalu sebelum kerja pembinaan tembok penahan ombak dimulakan,” katanya ketika ditemui di chaletnya
di pantai Sungai Kertah, Pengkalan Balak, di sini hari ini.
Bagaimanapun, sebelum kerja berkenaan dilaksanakan kontraktor yang diberikan tender oleh JPS, Yusof terpaksa membelanjakan kira-kira RM10,000 untuk mendapatkan bongkah batu yang digunakan sebagai tembok penahan ombak sementara, katanya.
Beliau berkata, sejak hakisan pantai bermula Jun lalu, beliau sentiasa dibelenggu kebimbangan, terutama apabila runtuhan pasir pantai sudah terlalu hampir dengan chalet.
Sementara itu, Pengarah JPS negeri Abdul Hakim Hamzah berkata, JPS mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana menyediakan peruntukan RM500,000 bagi membina tembok penahan ombak.
“Kami tidak membina benteng pemecah ombak, sebaliknya membina tembok penahan ombak yang membabitkan pembinaan ‘rock revetment,’ iaitu menyusun bongkah batu menjadi tembok penahan ombak di kawasan yang terjejas.
“Kerja berkenaan mampu mengelakkan hakisan bertambah teruk, sekali gus menyelamatkan pantai,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau menjelaskan, peruntukan itu tidak termasuk wang yang diperlukan bagi mengatasi masalah yang sama di perkampungan nelayan Tanjung Dahan, Kuala Linggi dekat sini.
Katanya, JPS sudah mendapatkan peruntukan RM800,000 bagi melaksanakan kerja mengatasi hakisan pantai yang mengancam kira-kira 100 nelayan di kampung itu.
Melaka Hari Ini sebelum ini melaporkan chalet dan perkampungan nelayan terbabit diancam hakisan pantai teruk yang masing-masing mengancam industri pelancongan dan kehidupan nelayan yang dilaporkan tidak mampu menurunkan perahu ke gigi pantai
akibat tebing pantai yang terlalu tinggi terbentuk akibat hakisan.