Kerajaan Negeri berusaha kembalikan peranan LTAM – KM

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

BANDA HILIR 9 September – Kerajaan Negeri akan berunding dengan tujuh syarikat penerbangan dalam usaha mengembalikan peranan Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam sebagai pintu masuk bagi pengangkutan udara ke Melaka dalam tempoh terdekat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata rundingan itu antaranya membabitkan wakil daripada Air Asia, Wing Abadai Air, Batik Air dan Firefly.

Katanya, kesemua tujuh syarikat penerbangan tersebut menyatakan kesediaan untuk berunding dan keputusan berhubung perkara itu akan dimaklumkan nanti.

“LTAM diberitakan menjadi satu lapangan terbang yang tidak ada lagi pesawat mendarat atau mengambil penumpang, apa yang berlaku tiada kena mengena dengan arahan atau keputusan Kerajaan Negeri, ia keputusan syarikat penerbangan itu sendiri dalam bentuk ‘commercial decision’.

“Namun, Kerajaan Negeri akan berusaha mempergiatkan promosi pelancongan di sebelah Indonesia bagi mengembalikan semula peranan LTAM ini sebagai hab untuk Sumatera-Melaka-Pulau Pinang,” katanya pada demikian pada sidang media selepas merasmikan pembukaan Mustafa Jewellery di sebuah pusat beli-belah, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata Kerajaan Negeri sentiasa mencari jalan untuk menghidupkan lagi LTAM dengan pelbagai aktiviti ekonomi khusus bidang aeroangkasa dan terbaharu adalah menerusi cadangan pembukaan pangkalan helikopter.

Bagi merealisasikan cadangan itu beliau akan ke Itali pada penghujung Oktober bagi sesi perundingan untuk menarik pelabur ke Negeri Melaka.

“Kita cuba menarik pelabur dalam bidang penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat (MRO), dalam hal ini adalah untuk helikopter, Jadi saya akan ke Itali untuk berunding dengan pelabur-pelabur industri helikopter dan membawa mereka ke Negeri Melaka.

“Sekiranya urusan terbabit berjalan lancar, Negeri Melaka akan menjadi sebagai hab helikopter Asia Tenggara dan hab aeroangkasa terbesar selepas CTRM (Composites Technology Research Malaysia (CTRM)),” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2312
Kongsi :
Previous post Pelaburan Melaka melepasi RM5 bilion setakat Ogos – KM
Next post Sidang khas Dewan Rakyat bermula Isnin ini bentang kajian separuh penggal RMK12
Ubah saiz-+=