
KERAJAAN NEGERI ANGKAT LEBIH 800 PRODUK PELANCONGAN
BANDARAYA MELAKA 20 Mac – Kerajaan Negeri meluncurkan lebih 800 produk pelancongan bagi merancakkan lagi landskap pembangunan dan ekonomi Melaka.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, peluncuran itu selaras dengan pemilihan Melaka sebagai tuan rumah Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD2025) dan Persidangan Pelancongan Sedunia 2025 (WTC2025) seterusnya disusuli Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
“Antara lima produk pelancongan yang diperkenalkan adalah Melaka Bila Larut Malam (MLM), Eco Cruise Sungai Linggi yang digelar Amazon Melaka dan yang terkini Skyview Hot Air Balloon serta Taman Tema Snow World.
“Selain itu, turut diadakan adalah Melaka River Festival dan Pesta Gendang Nusantara sementara itu yang kelima adalah ‘glamping’ dan ‘caravan park’.
“Namun apa yang pasti usaha meletakkan Melaka sebagai sebuah negeri pelancongan terunggul tidak akan terhenti, sebaliknya Melaka akan terus mengorak langkah ke hadapan bagi merangkul lebih banyak pencapaian khususnya dalam sektor pelancongan,” katanya.
Ab Rauf berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Libat Urus Bersama Penggiat Industri Pelancongan Melaka 2025, di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Hadir sama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin; Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Shaharuddin Abu Sohot serta barisan kenamaan lain.
Menurut Ab Rauf, Melaka akan mendahului dalam memberikan prasarana kepada peminat aktiviti-aktiviti luar termasuk caravan park.
“Caravan park ini dijangka akan dilancarkan tidak lama lagi dan kita mempunyai tujuh caravan park yang bertaraf dunia.
“Hakikatnya terlalu banyak pencapaian yang membanggakan hasil daripada usaha Kerajaan Negeri memperkasakan sektor pelancongan Melaka,” katanya.
Jelas beliau, pada tahun ini Kerajaan Negeri mensasarkan jumlah kehadiran pelancong seramai 16.5 juta orang dengan sasaran hasil pelancongan negeri berjumlah RM17.973 bilion.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.