KERAJAAN MELAKA SEDIA BANTU ‘HIDUPKAN’ NUSA DUSUN KUALA LINGGI
KUALA LINGGI 18 Januari – Kerajaan Negeri sedia membantu hampir 300 pemilik tanah-tanah terbiar di Nusa Dusun Orchard Resort, Kuala Linggi untuk membangunkan tanah tersebut dengan pelbagai tarikan berasaskan pertanian.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, bantuan itu boleh disalurkan menerusi pelbagai agensi dan jabatan berkaitan supaya kawasan tersebut dapat dihidupkan dan seterusnya membantu sektor keterjaminan makanan di negeri dan negara ini.
Jelas beliau, disebabkan lokasinya yang strategik, kawasan itu juga dilihat amat sesuai untuk dibangunkan sebagai sebuah tarikan agropelancongan Negeri Melaka.
“Kita minta mana-mana pemilik atau individu yang mempunyai tanah dalam Nusa Dusun ini datang berjumpa kita untuk kita bantu bangunkan tanah-tanah mereka melalui pertanian, agropelancongan dan sebagainya. Kita memang mahu bantu.
“Di Melaka ini terdapat ramai pengusaha dan petani yang mahukan tanah untuk dibangunkan, namun mereka menghadapi kekangan tersebut (tanah).
“Di peringkat Kerajaan Negeri, kita melihat Nusa Dusun ini merupakan sebuah tempat yang cantik dan strategik untuk dibangunkan, namun disebabkan tanah ini milik individu, kita amat berharap pemiliknya dapat berkolaborasi agar potensi kawasan ini dapat dikembangkan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas mengiringi Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh mengadakan lawatan ke Tapak Projek Pembangunan Pusat Agropelancongan Nusa Dusun Orchard Resort, di sini, semalam.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi, Datuk Rosli Abdullah;Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), TPr. Saifuddin Abdul Karim; Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Melaka dan Negeri Sembilan, Siti Hajar Ramlee serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Dr. Muhamad Akmal turut memberi jaminan Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Pertanian Negeri Melaka akan membantu mana-mana individu atau pemilik tanah persendirian di kawasan ini yang serius mahu menjalin kerjasama.
“Kalau dibangunkan lokasi berpotensi tinggi ini, sudah pasti ia akan mengangkat Kuala Linggi sebagai salah satu tempat hab pertanian dan destinasi agropelancongan terbaik dalam negara,” ujarnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.