Sorting by

×

Kerajaan luluskan permohonan pelarasan gred pegawai perubatan, pergigian kontrak

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

KUALA LUMPUR 25 Feb. – Kerajaan telah meluluskan permohonan untuk melaraskan gred Pegawai Perubatan kontrak Gred UD41 ke Gred UD43 dan Pegawai Pergigian kontrak Gred UG41 ke Gred UG44 berasaskan kesetaraan laluan kerjaya pegawai tetap.

Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan (KKM) Datuk Mohd Shafiq Abdullah yang memaklumkan perkara itu berkata, selaras dengan kelulusan mengenai prinsip pelaksanaan urusan itu oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 21 Januari dan kelulusan peruntukan oleh Kementerian Kewangan serta persetujuan pelantikan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam pada 24 Februari, pelarasan gred berkenaan akan ditawarkan menerusi sistem e-housemen dan e-dentist bermula hari ini.

Kerajaan luluskan permohonan untuk melaraskan gred Pegawai Perubatan. Gambar hiasan.

Menurutnya, pelarasan gred itu akan melibatkan sejumlah 21,408 Pegawai Perubatan, manakala bagi Pegawai Pergigian pula akan membabitkan seramai 697 orang.

Katanya, notifikasi mengenai tawaran tersebut akan dikemukakan kepada pegawai yang berkenaan menerusi e-mel masing-masing.

“Dengan pelarasan gred ini, diharapkan agar pegawai dapat meningkatkan lagi motivasi dan komitmen masing-masing untuk melaksanakan tugasan dengan lebih cemerlang termasuklah turut bersama dalam membendung dan menangani pandemik COVID-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, beliau memaklumkan JPA pada 4 Februari, dan Kementerian Kewangan pada 10 Feb telah meluluskan permohonan untuk menyambung perkhidmatan kontrak seramai 585 Pegawai Perubatan, 1,071 Pegawai Pergigian dan 1,966 Pegawai Farmasi.

“Notifikasi mengenai tawaran ini juga akan dikemukakan kepada pegawai yang berkenaan menerusi e-mel masing-masing,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1059
Kongsi :
Previous post Perak Man, rangka manusia berusia 11,000 tahun akhirnya miliki wajah
Next post ‘Hakisan makin merebak, jaga keselamatan kenderaan anda’ – MBMB
Ubah saiz-+=